Banjir Kelantan: Pembalakan masih aktif di Gua Musang

Bernama
Mac 14, 2015 16:21 MYT
Dua wartawan cuba mengesan punca banjir besar di negeri Kelantan dan sama ada pembalakan antara isu yang perlu diberi perhatian.
Meskipun hujan lebat luar biasa di Kelantan pada 22 hingga 24 Dis 2014 dilihat sebagai antara penyebab banjir besar di Kelantan namun pembalakan dikatakan memburukkan lagi keadaan.
Faktor penyumbang lain harus diambil kira seperti faktor sungai, topografi dan alam sekitar kerana ia juga menyebabkan banjir mengganas di negeri Cik Siti Wan Kembang itu.
Secara am dan jelas, sebilangan besar penduduk khususnya di Gua Musang mengaitkan kerakusan pihak-pihak yang mengondol hutan rimba di daerah itu sebagai faktor yang memburukkan lagi banjir.
Keluasan kawasan yang digondol boleh dilihat dengan jelas sama ada melalui jalan darat, air mahupun udara.
Wartawan Bernama, yang tiba di daerah Gua Musang dan Kuala Krai, menyaksikan beberapa lori balak membawa keluar balak dari hutan secara terang-terangan.
Lori-lori balak ini beroperasi tanpa mengira waktu sehingga lewat malam, dan membahayakan pengguna jalan raya.
Biarpun terdapat sesetengah pihak mendakwa tiada lagi aktiviti pembalakan di Kelantan, namun mengapa operasi lori balak masih berterusan di dua daerah ini?
Selama 10 hari penulis meninjau di kedua-dua kawasan itu, sememangnya setiap hari lori-lori balak, yang sarat dengan muatan, dilihat melalui kawasan pekan.
LORI BALAK KELUAR MASUK PEKAN
Perkara itu turut dipersetujui oleh penduduk tempatan Shamsuddin Yaacob, 57, seorang kerani sekolah di daerah Gua Musang.
Sebaik habis bekerja, beliau akan meluangkan masa dengan rakan-rakannya di kedai kopi, yang terletak bersebelahan jalan utama Gua Musang menuju ke Kuala Krai, di mana beliau menyaksikan lori-lori balak sarat dengan muatan melalui jalan itu.
"Memang banyak pun lori balak yang lalu sini, saya tak tahu lori ini ke mana namun jalan ini adalah jalan utama ke Kuala Krai.
"Kami bimbang berlaku perkara yang tidak diingini, malah saya turut risau sebab berlaku kerosakan jalan kerana muatan berat dan padat yang dibawa lori itu," katanya kepada Bernama.
PEMBALAKAN AKTIF DI KAMPUNG LAMBUT
Sebaik melihat pergerakan aktif lori-lori balak ini, penulis mengambil inisiatif untuk menjejaki dari mana datangnya lori balak berkenaan.
Melalui maklumat yang diterima daripada penduduk Gua Musang, antara kawasan yang dikenalpasti adalah perkampungan Orang Asli Kampung Lambut yang terletak kira-kira 80 kilometer dari Pekan Gua Musang.
Untuk menuju ke kampung itu, penulis menaiki bot di Sungai Galas dan menuju ke Sungai Kuala Betis yang mengambil masa kira-kira sejam setengah untuk sampai.
Sebaik tiba di Kampung Lambut, masyarakat Orang Asli di sana membawa penulis menuju ke markas pengumpulan kayu-kayu balak yang terletak lima kilometer dari perkampungan itu.
Apabila tiba di situ, pekerja-pekerja dilihat sibuk memunggah kayu-kayu balak ke atas lori.
JALAN KAMPUNG ROSAK KERANA LORI BALAK
Menurut Tok Batin kampung itu, Adam Asu, 71, markas pengumpulan balak itu telah wujud sejak lima tahun lepas sebaik sahaja Jabatan Kemajuan Orang Asli (JKOA) Gua Musang menyiapkan jalan untuk meningkatkan infrastruktur perkampungan Orang Asli di situ.
"Siap sahaja jalan, lori balak mula masuk, angkut kayu-kayu balak dari hulu, dan dari tahun ke tahun semakin banyak lori lalu-lalang menyebabkan jalan itu rosak," katanya.
Masyarakat Orang Asli dari kaum Temiar yang mendiami kampung itu meluahkan rasa kecewa ekoran kewujudan kawasan pengumpulan kayu-kayu balak yang tidak disenangi mereka.
Namun berdasarkan kepada pemerhatian penulis, kayu-kayu balak yang diangkut keluar berdiameter kecil dan dipercayai tidak mengikut spesifikasi Jabatan Perhutanan iaitu hanya balak berdiameter lebih 45 sentimeter sahaja boleh ditebang.
HUTAN SIMPAN KUALA KOH BOTAK
Setelah melihat sendiri apa yang berlaku di Kampung Lambut, penduduk kampung itu turut menyarankan penulis untuk meninjau Hutan Simpan Kuala Koh di mana aktiviti pembalakan masih lagi aktif.
Sebaik sahaja mendengar saranan itu, penulis menetapkan tarikh untuk bermalam di Hutan Simpan Kuala Koh.
Hutan Simpan Kuala Koh yang terletak kira-kira 100km dari pekan Gua Musang cukup popular bagi peminat sukan memancing kerana kawasan itu adalah lubok ikan kelah.
Namun apabila tiba di lokasi, kawasan yang dahulunya kaya dengan keindahan alam tidak lagi boleh dihayati.
"Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul" itu gambaran tepat bagi mencerminkan keadaan sebaik sahaja memasuki pintu masuk hutan simpanan itu. Sebahagian besar kawasan pintu masuk itu telah digondol habis demi membangunkan sektor perladangan.
Kawasan ladang kelapa sawit itu dikatakan baharu sahaja diusahakan melihatkan kepada ketinggian pokok kelapa sawit yang 'setahun jagung'
Sudah pasti, pada musim hujan, kawasan gondol itu akan mewujudkan permukaan laluan air dan hakisan tanah ekoran tiada tanaman sokongan seperti rumput dan pokok renek.
Penghulu Kampung Orang Asli Kuala Koh, Hamdan Keladi kesal dengan kejadian banjir yang berlaku khususnya selepas pembukaan tanah perladangan memandangkan sebelum ini kampungnya tidak pernah ditenggelami air bah.
Malah hasil-hasil hutan seperti kayu gaharu dan tumbuhan-tumbuhan herba yang merupakan hasil pendapatan mereka turut musnah teruk sekaligus menjejaskan pendapatan mereka.
"Kita punya tanaman, kita punya hutan kita punya makanan macam ubi sudah habis, dulu kita bergantung kepada hasil hutan sekarang tidak dapat kita nak bergantung kepada hasil hutan kerana sudah habis," katanya kepada Bernama.
TARIKAN PELANCONG
Sementara itu, Pengusaha Resort Hutan Simpan Kuala Koh Nik Nora Nik Mohamed Yusoff berkata sebelum ini resort beliau tidak pernah putus dikunjungi pelancong sama ada dari dalam mahupun luar negara kerana tertarik dengan keindahan alam semulajadi.
Namun, sebaik sahaja wujud pembukaan tanah di hadapan pintu hutan simpanan ini bilangan pengunjung merosot.
Malah kejadian bah paling teruk itu menyebabkan resort berkenaan dinaiki air setinggi lapan meter sehingga menyebabkan harta benda rosak teruk.
Kini Nik Nora hanya mampu berputih mata melihat alam semulajadi rakus digondol oleh pihak tidak bertanggungjawab.
"Sebelum ini, walaupun banjir tidak pernah naik setinggi ini dan secepat ini, kali ini arus air naik begitu cepat sekali.
"Tetapi dengan berlakunya penerokaan tanah betul-betul dekat pintu masuk taman negara ini, imej taman negara itu sendiri telah terjejas," katanya.
Hakikatnya fenomena banjir besar yang berlaku seharusnya dilihat dalam pelbagai aspek dan bukan sahaja menyalahkan ketentuan ilahi. Ini kerana ada kawasan yang tidak pernah mengalami banjir kini terpaksa berhadapan dengan risiko bencana ini ekoran wujudnya pembukaan tanah.
RANCANGAN PEMBANGUNAN TERLAMPAU DRASTIK
Sementara itu, bekas Pengerusi Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) Prof Dr Maketab Mohamed berkata, secara amnya tanaman satu jenis ataupun 'monoculture' tidak boleh menggantikan fungsi tanaman hutan tropika dalam proses hidrologi.
"Sebahagian daripada jumlah hujan akan dipintas oleh daun dan lain-lain bahagian tumbuhan, lalu tersejat ke atmosfera. Jumlah air yang tidak dipintas oleh tumbuhan akan jatuh ke tanah dan begitu juga aliran batang pokok.
Ladang-ladang 'monoculture' ini juga tidak dapat memberikan liputan kanopi seperti hutan semulajadi yang memperlahankan jatuhan hujan ke atas mukabumi.
Namun hasil tinjauan penulis di kawasan-kawasan sungai Kelantan menunjukkan hanya ladang kelapa sawit dapat dilihat di sepanjang sungai.
Oleh yang demikian, Maketab berkata sudah pasti berlakunya 'surface water runoff' yang tinggi ekoran ladang kelapa sawit tidak mampu berfungsi dengan baik dalam konteks pintasan hujan.
"Sudah pasti di ladang kelapa sawit bila hujan lebat, air yang jatuh ke muka bumi adalah banyak dan mengalir terus ke sungai.
"Jadi air yang tidak dipintas akan menyebabkan air hujan mengalir ke sungai dan sungai semakin deras, dan bertindak menghakis tebing-tebing sungai, malah sebelum itu lagi, air hujan yang jatuh di permukaan tanah yang terdedah turut menyebabkan hakisan tanah," katanya.
KAYU BALAK KERAJAAN NEGERI YANG PUNYA
Penulis juga merujuk isu diameter balak yang tidak menepati peraturan ini kepada Ketua Pengarah Jabatan Perhutanan Datuk Seri Dr Abd Rahman Abd Rahim.
Beliau menjelaskan sekiranya balak itu berukuran kurang 45 cm dalam diameter, maka ia bukan hasil balak daripada hutan simpanan tetapi daripada hutan di atas tanah kerajaan yang berkemungkinan dipugar untuk pembangunan.
"Jadi kalau anda jumpa kayu-kayu kecil yang sangkut dekat sungai kata mana-mana sahaja, itu bukan kayu hutan simpan yang lazimnya besar-besar.
"Lagipun jangan terkeliru antara tanah kerajaan dan tanah hutan simpan kekal, ini yang saya nak menjelaskan," katanya.
Abd Rahman berkata di bawah Perkara 74(2) Perlembagaan Malaysia, hutan dan tanah adalah hak milik kerajaan negeri dan bukannya di bawah Jabatan Perhutanan.
Mengikut pandangan peribadi beliau apa yang berlaku di Kelantan sekarang ini adalah pembangunan tanah yang tidak terkawal dan tidak mengikut garis panduan.
"Kalau kita lihat dalam peta (Peta Remote Sensing), memang berlaku pembukaan tanah untuk pembangunan di Kelantan secara meluas menyebabkan mukabumi terdedah tanpa liputan tumbuhan hijau.
Berdasar buku 'Perangkaan Perhutanan Semenanjung Malaysia 2013' Jabatan Perhutanan, data menunjukkan jumlah kawasan yang tidak berhutan di Kelantan adalah 698,304 hektar meliputi 46 peratus daripada mukabumi negeri itu.
Rekod juga menunjukkan dari tahun 2004 hingga 2013, kerajaan negeri kerap memohon lesen pengusahasilan (pembalakan) di kawasan berstatus tanah kerajaan dan tanah berpunya (persendirian) dengan jumlah keluasan kawasan sentiasa melebihi 5,000 hektar setiap tahun.
SETERUSNYA: Usaha semua pihak perlu untuk hindari banjir buruk berulang
_______________________________________________________________
*Ini adalah bahagian ketiga daripada empat siri rencana mengenai banjir besar yang melanda Kelantan pada akhir 2014.
**Dua wartawan Bernama Syed Ilya Al-Qadri dan Nik Nurfaqih Nik Wil cuba mengesan punca banjir besar itu dan sama ada pembalakan antara isu yang perlu diberi perhatian.
#banjir kelantan #Kelantan floods #sungai nenggiri #ular naga putih
;