Banjir Kelantan: Mangsa muak makan ayam, nak budu
Muhafandi Muhamad
Disember 2, 2017 15:14 MYT
Disember 2, 2017 15:14 MYT
"Saya muak dihidangkan dengan menu ayam setiap hari selama empat hari berada di sini hingga saya rasa seperti 'ayam'."
Demikian keluhan seorang mangsa banjir, Fatimah Mat Noh, 69 yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara Sekolah Kebangsaan Rantau Panjang 2, di sini pada Sabtu.
Ujar warga emas itu, dia sudah jemu untuk menjamah juadah yang disediakan tiga hari sekali dengan menu berasaskan ayam.
"Saya berharap sangat dapat makanan lain seperti ikan kering," katanya ketika ditemui Astro AWANI.
Malah terdapat mangsa banjir yang meminta pihak pengurusan menyediakan budu bagi menggantikan ayam.
Dalam pada itu, Ketua Tukang Masak pusat pemindahan tersebut, Jamaliah Ibrahim memberitahu, dia sering menerima aduan dan rungutan daripada mangsa banjir yang sudah jemu untuk menjamah lauk ayam.
Katanya, dia memasak lebih 100 kilogram ayam setiap hari dengan menyediakan 80 kg beras bagi makanan pagi, tengah hari dan malam dengan melibatkan 1,200 mangsa banjir.
Tambahnya, mangsa banjir turut meminta supaya dia menyediakan ikan atau ikan kering yang dilihat lebih membangkitkan selera mereka.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan, Said Sidup mengakui pihaknya tidak dapat menyediakan barangan basah seperti ikan kerana ketiadaan bekalan.
Said menjelaskan sejumlah 50 tan beras sudah dihantar ke 216 pusat pemindahan banjir seluruh Kelantan.
"Penggunaan harian dianggarkan 1.6 tan ayam sehari, 500 kilogram sayuran, 1,000 sarang telur dan lebih 500 kotak sardin untuk 59 buah pusat pemindahan banjir seluruh Kelantan.