Banjir Kelantan: LRA Bukit Remah dihenti tugas kerana paip pecah, tanah mendap
Bernama
November 28, 2024 12:20 MYT
November 28, 2024 12:20 MYT
KOTA BHARU: Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Remah, Tanah Merah telah dihenti tugas berikutan paip air mentah bersaiz 700 milimeter pecah disebabkan kejadian tanah mendap.
Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) dalam kenyataan hari ini memaklumkan paip berkenaan pecah kerana hujan lebat berterusan di LRA serta terdapat pergerakan tanah.
"Kesan henti tugas LRA Bukit Remah ini menyebabkan 13,766 akaun pengguna mengalami gangguan bekalan air.
"AKSB akan menggerakkan semaksimum mungkin lori-lori tangki sedia ada untuk penghantaran bekalan air ke kawasan kritikal seperti Hospital, Klinik Kesihatan, Pusat Dialisis dan lain-lain," menurut kenyataan itu.
AKSB akan memaklumkan perkembangan lanjut situasi ini dari semasa ke semasa menerusi saluran komunikasi di laman sesawang www.airkelantan.com.my, aplikasi MyAKSB, Facebook, Instagram, dan pengguna boleh hubungi PINTAS di talian 15777 jika mempunyai sebarang pertanyaan dan aduan.
-- BERNAMA