Banjir: Kelantan kongsi pengalaman urus bencana buruk 2014
Muhafandi Muhamad
Disember 24, 2021 16:44 MYT
Disember 24, 2021 16:44 MYT
KOTA BHARU: Negeri Kelantan yang pernah berdepan banjir buruk atau dikenali sebagai bah kuning pada tahun 2014
berkongsi pengalaman dalam menguruskan bencana itu.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, banjir 2014 itu telah menyebabkan seluruh negeri Kelantan lumpuh.
Namun, katanya, dengan kerjasama yang kukuh dan koordinasi yang baik daripada semua pihak, pemulihan pasca banjir dapat dilaksanakan.
“Kita teringat kepada apa yang berlaku pada 2014 yang pada ketika itu (banjir) datang secara tiba-tiba menyebabkan kita lumpuh peringkat awal, tapi dengan kerjasama kukuh dengan kombinasi baik kita dapat tangani walau bencana besar, hari ni kita lihat Pahang dan Selangor alami nasib sama macam kita dan kita simpati,” kata Ahmad.
Kata beliau, rakyat Kelantan yang ketika itu terkejut dengan banjir besar dilihat bersedia dan mampu menangani bencana itu tanpa ada korban nyawa.
Bahkan, menurut Ahmad, rakyat Kelantan yang tinggal berhampiran sungai khususnya di Kuala Krai turut mempunyai perahu dan bot selain membuat rakit.
Dalam soal ini juga, katanya, rakyat Kelantan peka dengan maklumat cuaca dan akur apabila diminta berpindah ke tempat lebih selamat.
Selain itu, jelas Ahmad, kombinasi petugas keselamatan, badan bukan kerajaan dan pihak berkuasa tempatan dalam membantu menguruskan bencana di Kelantan pada waktu itu mencetuskan suasana muafakat dan kerjasama yang baik.
Dalam banjir 2014 di Kelantan, dianggarkan kemusnahan ribuan rumah, bangunan dan kenderaan rosak bernilai berbilion ringgit.