Banjir Kelantan: Kerosakan infrastruktur RM172.3 juta - MB
Bernama
Februari 7, 2023 20:18 MYT
Februari 7, 2023 20:18 MYT
KOTA BHARU: Beberapa siri banjir akibat Monsun Timur Laut (MTL) yang berlaku di Kelantan sejak 2021 hingga tahun ini telah mengakibatkan kerosakan kemudahan infrastruktur berjumlah RM172.3 juta.
Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob berkata antara kerosakan yang dilaporkan ialah jalan raya, jambatan, sistem saliran dan pengairan, jeti serta runtuhan cerun.
"Nilai kerosakan itu berdasarkan data yang direkodkan sehingga kini. Angka ini dijangka bertambah selepas proses pengumpulan data selesai," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Sistem Pengurusan Bencana (e-Bencana) Negeri Kelantan di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri Datuk Mumtaz Md Nawi dan Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan Datuk Abdullah Ya'kub.
Sistem e-Bencana yang dibangunkan dalam tempoh lapan tahun dengan kos RM300,000 itu akan membolehkan mangsa banjir mendapat bantuan segera selain bertindak sebagai mekanisme pengurusan yang lebih kemas dalam menentukan peranan serta tanggungjawab agensi terbabit semasa bencana.
Sementara itu, Ahmad berharap kerajaan Persekutuan mempercepat pembinaan Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok (KESBAN) Fasa Dua dan Tiga bagi menangani banjir.
"Masalah banjir di Rantau Panjang bergantung kepada cepat atau tidak projek tebatan tersebut.
"Kita harap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membantu menyegerakan pelaksanaan projek berkenaan. Ia penting kerana dapat menyelamatkan kawasan kampung di sekitar Rantau Panjang," katanya.
Pada Ahad, Bernama melaporkan penduduk Kampung Tersang di Rantau Panjang melahirkan rasa bimbang berikutan kampung mereka kembali digenangi air sejak Sabtu akibat hujan lebat serta pertembungan air Sungai Lanchang dengan Sungai Golok.
-- BERNAMA