Banjir Kelantan: Keindahan Pantai Tok Bali terjejas, menuntut perhatian segera

Bernama
Disember 29, 2022 10:50 MYT
Sampah-sarap yang terdampar di pantai selepas dihanyutkan ombak ekoran musim Monsun Timur Laut mencacatkan pemandangan di kawasan pelancongan Pantai Tok Bali, Pasir Puteh, ketika tinjauan semalam. --fotoBERNAMA
PASIR PUTEH: Semasa bencana banjir di pantai timur kini dilihat semakin beransur pulih, Pantai Tok Bali yang sering tumpuan pengunjung tempatan dan luar negara kerana keindahannya sebelum ini, kini menjelma dengan wajah berbeza.
Tinjauan mendapati terdapat longgokan sampah-sarap di serata kawasan permukaan pantai berpasir itu seperti botol plastik, kayu reput serta daun kering, dan rata-rata pengunjung jelas terperanjat besar, kerana tidak menyangka keadaannya kini berubah sama sekali.
Seorang pengunjung dari Johor Bahru, Siti Masyitah Mohd Sekeri, 30, berkata beliau yang turut membawa anak-anaknya ke pantai Tok Bali sempena cuti musim persekolahan berasa terkejut dengan situasi pemandangan itu.
"Kali terakhir saya datang ke pantai Tok Bali ini kira-kira tiga tahun lepas dan saya ingatkan keindahan pantai ini akan terus terjaga, tetapi apabila saya lihat hari ini, rasa sangat terkejut kerana ada sampah-sarap seperti kayu reput dan botol plastik di pasir pantai ini.
"Saya sangat sedih dengan keadaan pantai ini dalam keadaan sekarang," katanya ketika ditemui Bernama, hari ini.
Mohd Zulfadhli Rosley, 31, dari Pengkalan Chepa, Kota Bharu pula berkata keadaan pantai tidak bersih dan dijaga dengan baik akan memberi kesan kepada sektor pelancongan di Tok Bali, dan ia bukan sahaja menjejaskan pemandangan di pantai berkenaan malah habitat hidupan laut turut terganggu.
"Saya harap pihak berkuasa memandang serius mengenai perkara ini dan tidak mengabaikan tanggungjawab untuk sama-sama menjaga kebersihan pantai Tok Bali," katanya.
Seorang penduduk tempatan Zakaria Harun, 49, yang tinggal berdekatan dengan pantai Tok Bali pula berkata kejadian banjir pada 18 Dis lepas menyebabkan rumahnya dinaiki air sehingga paras paha dan terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara berdekatan.
"Longgokan sampah-sarap di Pantai Tok Bali ini juga dipercayai berpunca daripada kejadian banjir baru-baru ini dan saya terpaksa membersihnya dengan sendiri di kawasan sekitar halamam rumah," katanya.
-- BERNAMA
#pantai tok bali #pantai tidak bersih #sampah #Pasir Puteh
;