Banjir Kelantan: Hubungi AKSB untuk dapat bantuan air bersih rumah - Exco
Bernama
Disember 27, 2022 16:32 MYT
Disember 27, 2022 16:32 MYT
KOTA BHARU: Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) menyediakan lebih 50 lori tangki bagi membantu mangsa banjir yang terkesan melakukan kerja-kerja pembersihan selepas banjir surut.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti negeri Abd Rahman Yunus berkata bantuan air itu dihantar ke tangki statik serta rumah penduduk terjejas banjir.
"Mereka (mangsa) hanya perlu menghubungi AKSB dan pihak AKSB akan menghantar bekalan secara terus," katanya pada sidang media selepas Program Bantuan Banjir anjuran Pasar Raya G-Orange di Tunjong, di sini hari ini.
Majlis disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bunut Payong Datuk Dr Ramli Mamat.
Mengulas lanjut, Abd Rahman berkata air yang disalurkan melalui tangki statik akan diselia oleh ADUN dan Penghulu Mukim diarahkan untuk memastikan bantuan sampai ke kawasan terlibat.
"Penyediaan tangki air itu adalah bagi memudahkan kerja-kerja pembersihan kediaman atau premis mangsa yang terjejas banjir ketika ini," katanya.
-- BERNAMA