Banjir Kelantan: Fenomena air termenung dijangka berterusan hingga seminggu

Muhafandi Muhamad
Disember 1, 2017 18:19 MYT
Pada masa ini paras air sungai Golok di Rantau Panjang dan Kuala Jambu, Tumpat masih mencatatkan bacaan di paras bahaya namun trendnya menurun. - Gambar fail
Penduduk di jajahan Tumpat, khususnya melibatkan kampung bersempadan dengan Sungai Golok, di Kuala Jambu berdepan dengan fenomena air termenung atau air bertakung yang dijangka mengambil masa lebih seminggu.
Situasi ini menyebabkan mangsa banjir yang masih berada di pusat pemindahan banjir di Tumpat tidak dapat pulang lebih awal walaupun paras air sungai menurun.
Keadaan yang berlaku ini bukan perkara baru bagi penduduk di beberapa kampung melibatkan kampung Jejulok, Bendang Pak Yong, Kuala Jambu dan sebagainya.
Pada masa ini paras air sungai Golok di Rantau Panjang dan Kuala Jambu, Tumpat masih mencatatkan bacaan di paras bahaya namun trendnya menurun.
Begitu pun mangsa banjir di jajahan Tumpat dijangka akan berada lebih lama di pusat pemindahan banjir menunggukan air termenung itu surut.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri, Adun Pengkalan Kubor, Mat Razi Mat Ail turut mengakui fenomena air termenung ini merupakan masalah yang dihadapi penduduk di jajahan ini sejak sekian lama.
Katanya masalah ini pernah diajukan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan beliau bersetuju untuk mengatasinya melalui peruntukkan RM 10 juta yang diluluskan sebelum ini.
Namun menurut Mat Razi pihak yang ditugaskan untuk melaksanakan projek membina terowong air termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran, JPS belum memulakan lagi projek berkenaan.
#banjir #Kelantan #mangsa #mangsa banjir #mati lemas #pusat pemindahan #Tumpat
;