Banjir Kelantan: Banjir tidak menentu, ada yang menginap di PPS sejak PRU15

Hilmi Malik
Disember 23, 2022 15:56 MYT
PPS SK Gual Tok Deh menempatkan seramai 1,597 mangsa membabitkan 459 keluarga. - Foto Astro AWANI
RANTAU PANJANG: Musim tengkujuh di Pantai Timur menyaksikan beberapa kawasan di negeri Kelantan berdepan dengan keadaan banjir yang tidak menentu.
Keadaan itu juga mengakibatkan beberapa mangsa banjir di Kampung Gual Tok Deh sukar untuk meramal sebarang kemungkinan khususnya terhadap kediaman mereka.
Menceritakan keadaan itu, salah seorang mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tok Deh di sini hadir berkongsi kisah.
Menurut Zakaria Mohd Noh, dia dan keluarga telah berada di PPS sejak musim pilihan raya umum ke-15 (PRU15) yang lalu, sewaktu gelombang awal banjir melanda negeri itu.
"Kita memang antara keluarga yang awal datang ke PPS sebab ketika ini kawasan rumah memang sudah dilanda banjir.
"Bila banjir surut sedikit kami boleh balik rumah tetapi selang beberapa minggu kita kembali ke PPS sebab rumah banjir semula," katanya ketika ditemui di PPS SK Gual Tok Deh pada Jumaat.
IKUTI LAPORAN KOMPREHENSIF MENGENAI BANJIR DI SINI!
Sementara itu, seorang lagi mangsa, Narizan Zakaria yang berdepan nasib sama memberitahu, banjir kali ini sememangnya yang paling terburuk.
"Saya di PPS sejak 9 November, pernah balik rumah sekejap kemudian kembali semula ke PPS.
"Kalau nak kira, dah hampir sebulan jugalah kami terpaksa menginap di PPS.
"Kali ini memang teruk, rumah memang habis tenggelam tiada satu pun yang sempat kami selamatkan," ujarnya.
Kedua-dua mereka antara keluarga yang awal menginap di PPS berkenaan sejak November lalu.
Dalam pada itu, Saripah Adam pula menyatakan, dirinya hanya hadir ke PPS untuk mendapatkan makanan akibat keadaan pusat itu yang terlalu padat.
Tidak terkecuali daripada menjadi mangsa banjir yang agak buruk, Saripah kini terpaksa menumpang di rumah kedua-dua ibu-bapanya yang telah meninggal dunia.
"Sekarang pindah rumah mak ayah, mereka pun dah meninggal sebab di sekolah semua tak muat dah.
"Lagipun nak duduk PPS agak susah sebab suami saya OKU jadi nak berjalan semua susah sikit, dia pun tak berapa sihat.
"Belum pernah lagi air naik hingga lepas kepala jadi semua barang pun tenggelam... kita simpan tempat tinggi pun tak dapat selamatkan juga," katanya lagi.
Setakat ini, PPS SK Gual Tok Deh menempatkan seramai 1,597 mangsa membabitkan 459 keluarga.
Antara kawasan yang terjejas teruk di kawasan tersebut terdiri daripada Kampung Tasik Tandak, Kampung Lubuk Gong, dan Kampung Kersang.
Beberapa laluan masuk utama ke kampung berkenaan juga memerlukan sampan atau bot bagi melepasi laluan.
#banjir #banjir kelantan #Kampung Gual Tok Deh #Rantau Panjang
;