Banjir Kelantan: Balai polis dan Pos PGA turut ditenggelami air

Vivi Sumanti
Disember 26, 2022 13:08 MYT
Muhamad Zaki ketika menziarahi Ketua SSPDRM dan anak anggota yang dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab Dua semalam. -Astro AWANI
KOTA BHARU: Banjir yang melanda Kelantan sejak Ahad turut menenggelamkan balai polis dan pos kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA) di jajahan Pasir Mas, Kota Baharu dan Tumpat.
Menurut Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki, empat balai polis ditenggelami air sedalam 0.2 hingga 0.7 meter (m), iaitu Balai Polis Kuala Jambu, Balai Polis Simpangan, Balai Polis Rantau Panjang, dan Balai Polis Bakong.
Tambahnya, Pondok Polis Salor dan Pondok Polis Kubang Kual pula ditenggelami air sedalam 0.5 meter.
Lapan pos PGA yang berada di sempadan sungai Golok turut terjejas akibat banjir, antaranya Pos Terusan, (0.5m) Pos Pak Da Khana (0.5m), Pos Salleh Berek (0.7m), Pos Pak Atah (0.5m), Pos Kubang Pak Hitam (0.8m), Pos Mek Gombak (1.0m), dan Pos Kaloi (0.38m).
"Tiga pos Angkatan Tentera Malaysia, ATM juga turut ditenggalami air sedalam lebih 1 meter, antaranya Pos Tanjong Baru, Pos Tok O, dan Pos Sega.
Walaupun pos dan pusat kawalan tersebut digenangi air, operasi pemantauan dan kawalan dilaksanakan seperti biasa.
Menurut Muhamad Zaki, banjir turut menjejaskan kediaman 195 anggotanya.
"Ada anggota, anak isteri yang terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) kerana rumah dinaiki air.
"Namun mereka tetap menjalankan operasi memindahkan mangsa banjir dan terlibat dalam mengawasi kawasan yang dinaiki air," katanya
Beliau berkata demikian selepas menziarahi Ketua Sukarelawan Simpanan Polis Diraja Malaysia (SSPDRM) dan anak anggota yang dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab 2 semalam.
#balai polis ditenggelami air #pos kawalan Pasukan Gerakan Am #Muhamad Zaki #banjir
;