Banjir: Kedai roboh dibadai ombak besar, dugaan besar Mak Cik Eshah

Fareez Azman
Januari 3, 2022 15:13 MYT
Che Eshah Mat Husin, 53, pengusaha kedai makan di jeti nelayan kawasan terbabit antara yang teruk terkesan. - Foto Astro AWANI
KUALA PAHANG: Selain paras air sungai yang naik mengakibatkan banjir di beberapa daerah di Pahang, fenomena air pasang besar terutama di kawasan muara sungai Kuala Pahang, Pekan turut mengejutkan penduduk setempat.
Ombak setinggi 3.8 meter yang direkodkan Jabatan Meteorologi Malaysia ternyata memberi kesan kepada penduduk setempat.
Astro AWANI meninjau sekitar kawasan ini, ternyata terdapat kemusnahan akibat dibadai ombak.
Che Eshah Mat Husin, 53, pengusaha kedai makan di jeti nelayan kawasan terbabit antara yang teruk terkesan.
BACA LAPOR LANGSUNG BERHUBUNG BENCANA BANJIR 2021 DI SINI
Kedai makannya roboh dibadai ombak besar
Hampir separuh struktur kedainya di gigi muara itu runtuh akibat dibadai ombak pada malam Ahad.
"Malam tadi tinggi airnya, makcik pun takut jadi makcik duduk hujung (luar kedai).
"Air ombak besar, makcik duduk sini 30 tahun tahun ni paling kuat. Kedai roboh, masa tu makcik ada sini sebab tak nak tinggal barang," jelasnya ketika ditemui Astro AWANI pada Isnin.
Ketika kejadian kira kira jam 10.00 malam itu, Che Eshah hanya mampu melihat sebahagian kedainya dibawa arus selepas runtuh.
"Bunyi kuat roboh masa itu, barang dapur semua habis. Pinggan mangkuk habis hancur, kena cari lain pulak lepas ni.
"Dah 30 tahun berniaga sini, dulu ada suami tetapi meninggal dunia dah tiga tahun. Berat dugaan makcik, tahun ni paling berat," jelasnya dalam keadaan sebak.
Duit simpanan habis baiki kedai
Air matanya gugur tatkala menceritakan beban yang terlalu besar menimpanya ketika ini.
Reda dan cekal, duit simpanannya habis digunakan untuk membina semula struktur kedai yang roboh.
"Anak takda, suami takda, nasib ada orang-orang kampung tolong makcik.
"Makcik beli barang mereka buatkan, hari itu (beberapa bulan lalu) pun dah habis modal untuk baiki kedai, kali ini kena keluar modal lagi," katanya.
Perniagaanya bukan mewah, hanya menghidangkan nasi lemak dan nasi berlauk buat nelayan dan orang kampung sekitar.
Pendapatannya pula, hanya RM100 sehari, kadang kala hanya RM50 sahaja berjaya dibawa pulang.
"Berniaga nasi lemak, nasi berlauk makcik sorang diri buat. Bantuan tak ada, tak tahu bila boleh berniaga.
"Ini gotong royong dapat bantu, dah dua kali roboh tapi mereka usaha juga nak makcik berniaga di sini," ujar makcik Eshah.
Mengharap ada bantuan
Besar harapannya, agar ada pihak dapat membantu meringankan bebannya itu.
"Itulah minta bantuan, makcik menung banyak dugaan macam mana dugaannya lepas ini.
"Semangat nak buat kerja kena kuat kita, nak kerja apa lagi kita.
"Bangkit balik itu semangat ada, tapi kalau ada bantuan sikit-sikit tu hulurlah," katanya lagi.
Pemerhatian Astro AWANI di sekitar Kuala Pahang mendapati, beberapa kesan runtuhan terutama di Jeti Tun Teja yang digunakan nelayan turut terjejas.
Difahamkan, fenomena air pasang besar akan membadai kawasan muara itu pada malam ini (Isnin).
#Banjir 2021 #air pasang #Kuala Pahang #Mak Cik Esah
;