Banjir Kedah: 'Tidak lena tidur, risau air naik...' - Penduduk
Hasimi Muhamad
September 19, 2024 18:03 MYT
September 19, 2024 18:03 MYT
ALOR SETAR: Situasi banjir yang menjejaskan tujuh daerah di Kedah ketika ini bukan sahaja memaksa penduduk berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS), malah menyebabkan penduduk tidak dapat melelapkan mata pada waktu malam.
Mereka yang ditemui Astro AWANI memaklumkan sentiasa dalam keadaan berjaga-jaga dan bersiap sedia untuk berpindah jika rumah dimasuki air.
Tinjauan di sekitar Kampung Simpang Chegar Kota Setar di sini hari ini mendapati kebanyakan kawasan berkenaan sudah dilimpahi air kira-kira dua hingga tiga kaki.
Menurut peniaga kedai makan, Nurida Abdullah, 42, sepanjang 18 tahun menetap di kampung berkenaan, banjir kali ini antara yang buruk pernah dihadapinya selain pada 2010.
Jelas ibu kepada empat cahaya mata itu, selain tidak lena tidur memikirkan bencana itu, kedai makan yang diusahakan juga digenangi air sehingga mengakibatkan dia tidak dapat berniaga sejak beberapa hari lalu.
"Tak boleh berniaga dalam dua hari dah sebab tenggelam sangat (kedai). Tetapi sebab rumah dua tingkat, anak-anak pun boleh duduk lagi. Kalau teruk, baru kita akan pindah.
"Hari ini nampak makin surut sikit (air). Semalam dalam pukul 3 pagi, tak tidur dari semalam duk tengok air. Tetapi ia nampak semakin surut.
"Risau juga sebab kita ada kecil... tidur sekejap, buka mata tengok air... macam itu lah kan," katanya ketika ditemui Astro AWANI di sini pada Khamis.
Kebimbangan sama disuarakan oleh suri rumah, Halimah Ahmad, 62, kerana bencana buruk yang berlaku sekitar 14 tahun lalu masih segar dalam ingatannya.
"Tetapi ini tak lah seteruk 2010.... (masa itu) rumah semua tenggelam sampai bahagian dada. Masa itu air memang laju lah.. kira ini semua penuh la (bahagian depan rumah. Masa itu air naik cepat," kongsi ibu kepada enam anak itu.
Bagi Mohd Ridzuan Afendi Mat Saad, 41, sebagai persiapan berdepan sebarang kemungkinan, dia telah mengalihkan barangan penting termasuk peralatan di dalam bengkel besinya bagi mengelakkan kerosakkan.
"Sekarang ini semua risau jadi macam 2010. Kalau 2010, air dalam kedai sudah paras lutut. (Kalau berlaku seperti itu) takut rosak semua mesin dalam kedai," ujarnya.
Seorang lagi pemilik bengkel besi, Mohd Fatul Hakim, 41, menambah dia terkejut apabila air naik dengan cepat ke dalam rumah ibu bapanya pada Rabu malam, tetapi situasi masih terkawal setakat ini.
"Semalam saya berjaga adalam pukul 12 tengah malam hingga 2 pagi... Air makin naik, memang cepat.
"Saya balik tidur (rumah sendiri) balik tengok dalam rumah (ibu bapa) sudah habis (dimasuki air). Kelam kabut juga nak angkat barang dalam rumah," katanya.
Setakat pukul 5 petang ini, seramai 4,136 mangsa banjir direkodkan di tujuh daerah di Kedah, dengan sebanyak 31 PPS telah dibuka.
Daerah yang terjejas adalah Kota Setar (1,381 mangsa); Kubang Pasu (1,089); Pokok Sena (839 mangsa); Pendang (504 mangsa); Kuala Muda (131 mangsa); Bandar Baharu (107); serta Kulim (86 mangsa).