Banjir Kedah: Seramai 154 mangsa ditempatkan di tiga PPS

Adie Sufian Zulkefli
Oktober 27, 2023 09:40 MYT
Anggota APM membantu memindahkan mangsa selepas kediaman mereka dinaiki air banjir. - Foto APM
ALOR SETAR: Bilangan mangsa banjir di Kedah mencatatkan peningkatan apabila 154 mangsa daripada 130 keluarga kini ditempatkan di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di dua daerah Baling dan Bandar Baharu.
Ketua Bahagian Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana, Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah, Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata, jumlah mangsa banjir kilat dua PPS di Baling adalah seramai 147 mangsa daripada 127 keluarga setakat jam 8 pagi tadi.
Beliau berkata, mereka ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Bayu dan SK Siong yang masing-masing dibuka pada jam 9 malam tadi.
"Selain itu PPS di daerah Bandar Baharu pula menempatkan seramai sembilan mangsa daripada tiga keluarga yang ditempatkan di Masjid Kepala Batu di daerah itu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Muhammad Suhaimi berkata, beberapa kawasan di tiga daerah lain di negeri iaitu Sik, Kuala Muda dan Kulim turut dinaiki air akibat hujan lebat berterusan semalam.
Bagainanapun setakat ini tiada PPS dibuka di tiga daerah berkenaan namun pemantauan di kawasan sungai serta kawasan berisiko rendah masih dilakukan anggota APM.
"Di Kulim, lokasi yang terjejas banjir kilat adalah di Kampung Bendang Sera, Mukim Terap.
"Di Kuala Muda pula membabitkan sembilan kampung di Mukim Teloi Kiri iaitu di Kampung Bukit Perak A, Kampung Jerai, Kampung Bukit Topanga, Kampung Haji Ismail, Kampung Sungkap Para, Kampung Haji Safar, Kampung Songkai, Kampung Belakang Masjid dan Kampung Paya Keladi.
"Selain itu, Kampung Bukit Hangus di Mukim Jeneri turut dinaiki air akibat hujan lebat semalam namun tiada PPS dibuka di tiga daerah berkenaan," katanya.
#banjir #mangsa #PPS #APM
;