Banjir Kedah: Nilai kerosakan, ganti rugi dijangka lebih RM100 juta

Abdul Hadi Che Awang
September 22, 2024 16:55 MYT
Muhammad Sanusi menyampaikan sumbangan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Rakan Sukan Tanah Merah, Pendang pada Ahad. - Gambar/ UPDA
PENDANG: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menjangkakan kos bagi kerja-kerja membaik pulih infrastruktur yang rosak dan kerugian ternakan serta tanaman akibat kejadian banjir di negeri itu sejak minggu lalu melebihi RM100 juta.
Sehubungan itu, beliau mengharapkan agar Kerajaan Persekutuan dapat mempertimbangkan peruntukan tambahan selain RM13 juta yang diumumkan pada Sabtu.
"Saya rasa tak cukuplah (RM13 juta itu) tetapi kita ucap terima kasih kepada PM yang datang kelmarin (Sabtu), ambil masa juga datang Kedah, terima kasih banyak-banyak. Pengumuman awalnya RM13 juta, kelmarin (Sabtu) dia umum on the spot itu RM10 juta lagi dan saya harap akan akan ada penambahan lagi.
"Selepas ini kita akan buat bancian kerosakan infrastruktur kediaman, apa-apa lagilah. Semua rakyat Kedah ini pun rakyat Malaysia. (Yang paling teruk saya rasa) sektor pertanian itu, kalau sawah padi yang tenggelam ada (melibatkan) yang kawasan MADA dan di luar (kawasan) MADA.
"Jika kawasan MADA mungkin boleh ditentukan oleh (pihak) MADA, tetapi kawasan (sawah yang berada) di luar (kawasan) MADA, ada 32,000 hektar kawasan sawah padi, kena tengok jugalah," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan lawatan dan menyampaikan sumbangan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Rakan Sukan Tanah Merah, Pendang pada Ahad.
Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya turut berwaspada memandangkan tempoh peralihan monsun dijangka bermula Selasa depan.
Dalam perkembangan sama, Sanusi memaklumkan bahawa situasi banjir di Kedah ketika ini berada dalam keadaan terkawal dan tidak seburuk banjir 2010 walaupun berlaku peningkatan mangsa banjir terutama di daerah Kota Setar dan Pendang.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyatakan bahawa Kerajaan Persekutuan akan menyalurkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM13 juta kepada negeri Kedah susulan kejadian banjir yang berlaku di negeri itu sejak beberapa hari lalu.
Menurut beliau, peruntukan berkenaan turut melibatkan kerja-kerja baik pulih infrastruktur yang rosak selain kerugian terhadap ternakan dan tanaman.
#banjir kedah #Muhammad Sanusi Md Nor #nilai kerosakan #ganti rugi #terkini
;