Banjir Kedah: Jalan ke UUM sudah dibuka, boleh dilalui kenderaan biasa - Polis

Abd Hadi Che Awang
Disember 2, 2024 16:31 MYT
Jalan utama ke UUM melalui Lebuhraya Changlun-Sintok sebelum ini ditutup kerana dinaiki air. - Gambar fail/ Ihsan pembaca
ALOR SETAR: Jalan utama ke Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui Lebuhraya Changlun-Sintok yang sebelum ini ditutup akibat dinaiki air, sudah dibuka dan boleh dilalui kenderaan biasa.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Mohd Redzuan Salleh, berkata jalan itu hanya terjejas akibat banjir pada Rabu dan Jumaat lalu.
"Pada Jumaat, air dari Sungai Badak telah melimpah dan membanjiri jalan utama ke UUM Sintok dan lencongan kenderaan telah dilakukan melalui Jalan Batu 15 bagi kenderaan yang menuju ke universiti terbabit," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Beliau mengulas mengenai penyebaran rakaman video kejadian pada Jumaat itu dengan maklumat yang kurang tepat, menyebabkan banyak pihak menyangka laluan itu masih ditutup sehingga hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, tujuh jalan di daerah Kubang Pasu ketika ini masih ditutup sepenuhnya kepada semua kenderaan.
Antaranya adalah Jalan Tanah Merah ke Wang Tepus, Jalan Jitra ke Kampung Kelubi, Jalan Kepala Batas ke Bukit Tinggi, Jalan Batu 9 Jitra ke Alor Rambai, Jalan Kampung Budi ke Kampung Bohor, Kilometer 32.1 hingga Kilometer 33.2 Lebuhraya PLUS Arah Selatan dan Kilometer 33.2 hingga Kilometer 32.1 Lebuhraya PLUS Arah Utara.
"Dua lagi jalan juga ditutup dan hanya boleh dilalui kenderaan berat iaitu Jalan Titi Besi ke Kampung Pasir dan Jalan Kepala Batas ke Titi Besi.
"Tiga lagi jalan pula telah dibuka semula kepada semua kenderaan iaitu Jalan Kepala Batas ke Bukit Tinggi, Jalan Kelubi Luar ke Kampung Malau dan Jalan Jitra ke Sungai Korok," katanya.
Mohd Redzuan juga turut menasihati orang ramai terutama pengguna lalu lintas untuk tidak meredah laluan dinaiki air yang berarus deras demi keselamatan diri dan keluarga.
#banjir2024 #monsun timur laut #UUM #jalan tutup
;