Demikian keadaan yang terpaksa dihadapi salah seorang mangsa banjir di Kampung Bukit Mukim Derang, di sini.
Menurut Md Zahari Ramli, 56, dia terpaksa membawa isterinya, Junaidah Mohd Zuli, 53, yang mengalami patah tulang belakang ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Hijau bagi memastikan keselamatannya susulan paras air yang semakin naik.
Menceritakan situasi tersebut, bapa kepada lima cahaya mata itu berkata dia mengambil keputusan membawa isterinya ke PPS berkenaan pada pagi Selasa sebelum jalan menghubungkan kampungnya terputus.
“Tahun ini melebihi pada paras sebelum ini, air semakin naik.
“Kami pun keluar awal sikit dari rumah dan kebetulan isteri saya ini mengalami patah tulang.
“Kami terpaksa keluar awal untuk menetap di PPS,” katanya ketika ditemui Astro AWANI di PPS SK Bukit Hijau, di sini hari ini.
Dia berkata, walaupun keadaan banjir pada tahun ini tidak seburuk 2010, tetapi situasi tersebut disifatkan sebagai membimbangkan.
“Kalau ikut tahun sebelum ini, keadaan air itu perlahan sikit. Tapi setakat semalam memang laju,” tambahnya.
Bagi Mohamad Nafis Zulkeplee pula, dia tidak menyangka kepulangannya ke halaman sempena cuti persekolahan menyebabkan dia sekeluarga terkandas.
Begitu pun, pemuda berusia 29 tahun itu bersyukur kerana kejadian banjir berlaku ketika dia di kampung, sekali gus dapat membantu ibu bapanya.
“Air naik dengan cepat pada jam 2.30 petang (Selasa) sehingga kami tak sempat kemas apa-apa.
“Emak dan ayah telefon untuk balik kemas rumah (menyelamat) barang yang sempat.
“Tetapi kami datang (PPS) dengan sehelai sepinggan,” ceritanya yang berada di PPS bersama sembilan lagi ahli keluarga.
Namun berbeza pula dengan Saad Ripin, 86, yang hidup sebatang kara dan perlu berdepan situasi sukar itu seorang diri.
Tetapi warga emas itu tidak mengeluh kerana sudah biasa menghadapi kejadian sedemikian.
“Banjir kali ini (air) banyak sikit daripada tahun sebelum ni. Air naik lebih satu kaki.
“Air datang secara mengejut, tak sempat nak ambil apa-apa (barangan keperluan),” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Nerang (Zon 1) Kota Setar, Mohd Aminuddin Mad Khozali berkata pihaknya dengan bantuan Balai Bomba dan Penyelamat Pokok Sena sedang memantau kawasan sekitar daerah berkenaan.
Daerah Pokok Sena merekodkan mangsa paling ramai terjejas iaitu 745 orang setakat petang ini.
Dua PPS dibuka di daerah berkenaan melibatkan PPS Maahad Tarbiah Islamiah Derang dan SK Bukit Hijau.
Lima lagi daerah yang terjejas di Kedah adalah Kota Setar; Pendang; Kubang Pasu; Kulim; serta Kuala Muda dengan jumlah keseluruhan setakat ini adalah 3,827 mangsa membabitkan 789 keluarga.