Banjir Kedah: Empat PPS ditutup, satu masih aktif di Kulim
Adie Sufian Zulkefli
November 13, 2022 11:37 MYT
November 13, 2022 11:37 MYT
KULIM: Banjir di daerah ini menunjukkan petanda baik selepas empat pusat pemindahan sementara (PPS) ditutup sepenuhnya pagi tadi dan hanya satu yang masih aktif setakat jam 10 pagi ini.
Menurut Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kulim, Kapten (PA) Amirul Aliff Ahmad, sebahagian besar mangsa telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.
Sementara itu, seramai 76 mangsa daripada 16 keluarga masih berada di PPS Masjid Sungai Seluang.
"Mangsa terdiri daripada 23 lelaki, 18 wanita, kanak-kanak lelaki seramai 12 orang, kanak-kanak perempuan 4 orang, dua bayi lelaki dan seorang bayi perempuan.
“Manakala PPS yang ditutup adalah PPS Sekolah Permatang Tok Dik, Dewan Penghulu Paya Betok, Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Limau dan PPS Surau Taman Sang Kancil," katanya.
Amirul Aliff mengingatkan penduduk yang tinggal di sepanjang pesisir sungai supaya berwaspada sekiranya hujan lebat dan banjir kilat, serta segera berpindah sekiranya diminta berbuat demikian.
Hujan lebat berterusan sejak Jumaat lalu mengakibatkan beberapa kawasan di daerah ini dan Bandar Baharu dinaiki air.
Keseluruhannya, sejumlah 239 orang mangsa melibatkan 61 keluarga ditempatkan di enam PPS setakat ini.