Banjir Kedah catat penurunan, 7,963 mangsa ditempatkan di 37 PPS

Astro Awani
September 22, 2024 06:30 MYT
Kesemua mangsa banjir di Kedah, melibatkan 7,963 orang daripada 2,578 keluarga, ditempatkan di 37 pusat pemindahan sementara di lima daerah. --fotoBERNAMA
ALOR SETAR: Bilangan mangsa banjir di Kedah terus mencatatkan penurunan kepada 7,963 mangsa daripada 2,578 keluarga yang ditempatkan di 37 pusat pemindahan sementara (PPS) di lima daerah di negeri ini.
Jumlah itu dilaporkan setakat jam 11.25 malam tadi, kurang berbanding 8,106 mangsa daripada 2,613 keluarga pada petangnya.
Kesemua mangsa banjir terbabit ditempatkan di PPS yang masih aktif di lima daerah yang terjejas iaitu di Kota Setar, Pendang, Kubang Pasu, Pokok Sena dan Bandar Baharu.
Berdasarkan laman Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Daerah Kota Setar masih mencatatkan peningkatan iaitu seramai 5,336 mangsa daripada 1,770 keluarga di 19 PPS, berbanding 7,963 mangsa daripada 2,578 keluarga sebelum itu.
Selain itu, daerah Pendang mencatatkan peningkatan jumlah mangsa mencecah 1,604 daripada 488 keluarga setakat ini, meningkat berbanding 1,548 mangsa daripada 466 keluarga sebelumnya.
Sementara itu, Kubang Pasu kekal mencatatkan 671 mangsa banjir daripada 217 keluarga, seperti sebelum ini.
Mangsa banjir di Pokok Sena pula menurun kepada 233 orang daripada 77 keluarga, berbanding 389 orang daripada 119 keluarga.
Bandar Baharu juga mencatatkan jumlah mangsa masih kekal 119 daripada 26 keluarga.
Sementara itu, laman web Public Infobanjir, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaporkan, tiga sungai di daerah Kota Setar terus mencatatkan bacaan melepasi paras bahaya dengan trend menaik setakat jam 5 pagi ini.
Sungai terbabit ialah Sungai Anak Bukit di Jambatan TAR, Sungai Anak Bukit di Taman Aman dan Sungai Kedah di Jambatan Lebuhraya.
Bagaimanapun, Sungai Bata di daerah Kubang Pasu masih melepasi paras amaran setakat ini.
#PPS #mangsa banjir #banjir kedah #banjir
;