Banjir Kedah: Bilangan mangsa terus meningkat, 1,359 di 11 PPS

Adie Sufian Zulkefli
September 30, 2024 08:45 MYT
Situasi banjir di kedah terus catat peningkatan bilangan mangsa apabila 1,359 orang daripada 436 keluarga berada di 11 pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga daerah di negeri setakat jam 8 pagi Isnin. - Gambar Astro AWANI
ALOR SETAR: Situasi banjir di kedah terus catat peningkatan bilangan mangsa apabila 1,359 orang daripada 436 keluarga berada di 11 pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga daerah di negeri setakat jam 8 pagi Isnin.
Peningkatan itu berbanding 1,102 mangsa daripada 353 mangsa yang dilaporkan jam 12 tengah malam tadi.
Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kedah, Datuk Zulkhairi Zainol Abidin berkata, jumlah mangsa makin bertambah disebabkan gelombang kedua banjir, daerah Pokok Sena mencatatkan bilangan mangsa paling ramai iaitu 734 mangsa daripada 231 keluarga yang ditempatkan di lima PPS.
“Diikuti daerah Kota Setar yang menempatkan seramai 341 mangsa daripada 107 keluarga di tiga PPS manakala Kubang Pasu pula membabitkan 284 mangsa daripada 98 keluarga di tiga PPS.
“Kubang Pasu, PPS yang masih aktif ketika ini adalah di Dewan PPK Lubuk Batu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Changlun, Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Baru Darul Aman.
“Di Pokok Sena pula, PPS Maahad Tarbiah Islamiyaj Derang, Dewan Serbaguna Pokok Sena, Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Hijau dan Masjid Nurul Iman Batu 14 serta Surau Kampung Keda Derang.
“Manakala di Kota Setar pula, tiga PPS yang aktif adalah di SMK Alor Merah, SMK Kepala Batas dan SK Titi Gajah,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Isnin.
Dalam pada itu, maklumat Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula memaklumkan, empat sungai di tiga daerah di negeri ini terus mencatatkan bacaan melepasi paras bahaya.
Antara sungai terbabit adalah Sungai Padang Terap di Kepala Batas dan Sungai Bata di daerah Kubang Pasu manakala Sungai Anak Bukit di Taman Aman di daerah Kota Setar dan Sungai Titi Kerbau di Kubur Panjang di daerah Pendang setakat jam 8 pagi hari ini.
Kesemua sungai itu menunjukkan trend air menaik setakat ini.
#banjir kedah #mangsa banjir #Pusat Pemindahan Sementara #daerah Pokok Sena
;