Banjir: 'Kami cuba untuk bangkit' - Penduduk

Sinar Harian
Disember 26, 2021 11:11 MYT
Lebih puluhan longgokan barangan kelengkapan rumah yang rosak. - Foto Sinar Harian
KUANTAN: Penduduk di Perumahan Awam Kos Rendah Bukit Rangin di sini mengakui sedaya upaya untuk bangkit selepas kediaman mereka ditenggelami banjir sehingga paras bumbung pada Ahad lalu.
Rata-rata memaklumkan air banjir setinggi itu telah memusnahkan 100 peratus kelengkapan rumah termasuk perkakas elektrik serta harta benda lain.
Tinjauan Sinar Harian di kawasan perumahan itu mendapati, pelbagai barangan seperti tilam, sofa dan perabot telah dikeluarkan oleh sukarelawan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) daripada pelbagai negeri.
Seorang suri rumah, Shahriza Shahril, 33, mengakui terkejut melibat pelbagai barangan di kediamannya yang bergelimpangan dan rosak apabila pulang ke rumah, selepas beberapa hari berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).
Menurutnya, semua perabot seperti tilam hancur dan barangan elektrik seperti peti ais, mesin basuh dan lain-lain tumbang disebabkan arus banjir kuat.
"Barang rumah habis semua, barang elektrik tak tahu lagi sama ada boleh digunakan atau tidak.
"Tapi, apa sahaja ujian yang menimpa kita kena reda dan bangkit semula dengan kehidupan baharu," katanya ketika ditemui Sinar Harian di Perumahan Awam Kos Rendah Bukit Rangin pada Sabtu.
Shahriza melahirkan rasa syukur kerana pelbagai NGO turun padang membantu membersihkan rumahnya.
"Terus terang cakap, saya dan suami tidak mampu untuk bersihkan rumah ini tanpa bantuan orang lain.
"Jadi, saya amat berterima kasih kepada semua sukarelawan kerana memudahkan urusan kami penduduk di sini," katanya.
Mohd Izwan Shahril, 35, berkata, keseluruhan barangan kelengkapan rumah tidak dapat digunakan dan terpaksa dibuang kerana hancur.
"Perabot, katil, sofa, almari semuanya musnah dan barangan elektronik pula rosak serta tidak boleh digunakan. Barangan ini semua tenggelam dan belanja besar kalau hendak betulkan semula semua barang-barang itu.
"Jadi, untuk memulakan hidup baru, saya harap pihak kerajaan dapat membantu dalam meringankan beban kami untuk kehidupan selepas dilanda musibah," katanya yang bekerja sebagai pemandu peribadi.
Sementara itu, suri rumah, Nor Azila Mat Zin, 31, turut mengakui berdepan dengan situasi sama dan hampir keseluruhan kelengkapan rumah musnah.
"Saya tidak boleh terus bersedih dengan ujian menimpa ini dan perlu bangkit kerana kerajaan pasti akan membantu menyalurkan pelbagai bantuan," katanya.
Pembantu tukang masak, Siti Nurzaila Syed Abdul Halim, 41, memberitahu, banyak barangan di dalam rumahnya rosak akibat tragedi banjir.
"Tapi saya masih berharap ada barang yang boleh digunakan, tidak rosak teruk terutamanya perkakas elektrik.
"Pakaian pula saya akan basuh, tetapi jika rosak teruk terpaksalah saya buang sahaja," katanya.
Peniaga, Azlina Abdul Wahab, 40, pula memaklumkan hampir 90 peratus barangan rumahnya musnah dalam musibah banjir pada Ahad lalu.
"Banjir kali ini teruk, semua harta benda rosak dan kerugian mencecah ribuan ringgit," ujarnya.
* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.
#banjir #mangsa #rosak #kelengkapan rumah
;