Banjir kali ini pelik, kata penduduk Kemaman
Wan Zuratikah Iffah Wan Zulkifli
Februari 25, 2022 20:04 MYT
Februari 25, 2022 20:04 MYT
KEMAMAN: Berdepan banjir musim tengkujuh setiap tahun telah menjadi kebiasaan buat penduduk di daerah ini, namun banjir yang berlaku ketika ini disifatkan pelik dan luas biasa.
Menurut penduduk Kampung Padang Kubu, di sini, Salasiah Hamid, 27, kebiasannya banjir berlaku pada hujung tahun dan tidak pernah melanda kawasan itu pada Februari.
Jelasnya hujan lebat sejak Khamis menyebabkan air mula naik ke kawasan rendah di kampungnya, menyebabkan sebahagian penduduk terjejas dan terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) pagi Jumaat.
"Memang kami tidak bersedia hadapi banjir kali ini. Sebab baru hujung tahun lepas kena banjir dah. Biasanya masa sekarang ini tak pernah banjir.
"Rumah saya belum dinaiki air lagi pagi tadi, banyak rumah lain sudah kena banjir. Agak kelam kabut juga pagi tadi bila sedar air mula naik di kawasan kampung.
"Tapi alhamdulillah, kita sedar dan alihkan sedikit barang yang sempat ke tempat tinggi," katanya ketika ditemui di PPS Balai Raya Padang Kubu di sini, pada Jumaat.
Seorang lagi penduduk, Noraina Atikah Tahar, berkata mereka memang tidak menyangka banjir akan melanda walaupun menyedari hujan lebat sejak beberapa hari lalu.
"Hujan mula dua tiga hari dah. Lepas itu tak sangka banjir ini. Mujurlah banyak barang-barang seperti peti ais yang dipindahkan ke tempat tinggi masa musim banjir hujung tahun lepas belum dipindah turun lagi...memang duduk atas dah," katanya.
Sementara itu, Zaidi Othman, 61, berkata banjir yang melanda kali ini lebih teruk berbanding tahun lalu.
Katanya risau dengan keselamatan, dia dan keluarga memilih untuk berpindah lebih awal ke PPS bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
"Dalam pukul 1 pagi tadi, air paras pinggang... sekarang ni kalau kita duk depan, air sudah sampai paras kepala.. tadi tengok makin teruk, tengok dari jauh saja tak boleh pergi dekat (sebab air dalam)," katanya.
Terdahulu, hujan lebat yang melanda sejak Khamis menyebabkan tiga daerah di Terengganu iaitu Kemaman, Setiu dan Hulu Terengganu dilanda banjir dan sehingga petang tadi menyebabkan 957 mangsa terjejas.
Banjir gelombang kelima itu menyaksikan 15 PPS telah diaktifkan bermula Jumaat.