Banjir: Jumlah mangsa semakin menurun, Pahang pulih

Bernama
Disember 7, 2024 19:45 MYT
Antara mangsa banjir yang masih menetap di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Maktab Rendah Sains MARA Tumpat ketika tinjauan hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Situasi banjir di Kelantan dan Kedah terus menunjukkan perkembangan positif dengan penurunan mendadak jumlah mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS) di kedua-dua negeri itu petang ini, selain bencana itu dilaporkan pulih di Pahang hari ini.
Portal Bencana Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) memaklumkan sembilan kematian direkodkan akibat bencana musim tengkujuh setakat ini.
KELANTAN yang merupakan negeri paling terjejas dengan bencana itu, merekodkan penurunan mendadak jumlah mangsa dengan 3,704 orang daripada 1,099 keluarga masih berada di PPS petang ini, berbanding 6,269 orang daripada 1,892 keluarga, pagi tadi.
Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan jajahan Tumpat merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 2,703 mangsa daripada 804 keluarga, diikuti Pasir Mas seramai 1,001 daripada 295 keluarga manakala banjir di Kuala Krai pulih sepenuhya selepas PPS terakhir di situ ditutup hari ini.
Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menerusi portal infobanjir.water.gov.my pula memaklumkan Sungai Golok di Tumpat masih melepasi paras bahaya iaitu 3.08 meter berbanding paras bahaya 3.0 meter, namun bacaan itu menurun berbanding 3.18 meter pada pagi tadi.
Jumlah mangsa di KEDAH pula berkurangan kepada 970 orang daripada 277 keluarga setakat 4 petang ini berbanding 1,865 orang daripada 566 keluarga pagi tadi, yang masih berlindung di lima PPS di negeri itu.
Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata 932 orang daripada 265 keluarga ditempatkan di empat PPS di Kota Setar, manakala 38 orang daripada 12 keluarga di daerah Kubang Pasu ditempatkan di sebuah PPS.
Di PERAK, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam kenyataan memaklumkan jumlah mangsa banjir petang ini ialah 126 orang daripada 42 keluarga, berbanding 129 orang daripada 43 keluarga pagi tadi dan ditempatkan di tiga PPS di daerah Kinta dan Perak Tengah.
Daripada jumlah 126 mangsa banjir itu, seramai 92 mangsa daripada 31 keluarga masih ditempatkan di dua PPS iaitu Dewan Serbaguna Tanjung Tualang serta Sekolah Kebangsaan St Paul, Kinta manakala bakinya berada di PPS Dewan Orang Ramai Kampung Teluk Kepayang, Bota.
Berbanding negeri lain yang merekodkan penurunan mangsa, JOHOR mencatatkan sedikit pertambahan mangsa banjir apabila 544 mangsa direkodkan berada di 15 PPS di tiga daerah setakat 4 petang ini, berbanding 521 orang pada pagi tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Tan Sri Dr Azmi Rohani memaklumkan 336 mangsa daripada 101 keluarga di Segamat ditempatkan di 12 PPS, manakala di Tangkak melibatkan 176 mangsa daripada 48 keluarga di dua PPS dan 32 orang daripada 10 keluarga di Batu Pahat di sebuah PPS.
Dua jalan di Segamat masih ditutup untuk semua jenis kenderaan akibat banjir iaitu Jalan Kuala Paya-Blai Badang dan Jalan Tumang, manakala Jalan Serakek, di daerah sama hanya dibuka kepada kenderaan berat.
Di PAHANG, Sekretariat JPBN memaklumkan banjir di negeri itu pulih selepas PPS Balai Raya Kampung Baru Pertanian, Maran yang dibuka Rabu lepas ditutup 12 tengah hari tadi.
Sementara itu di MELAKA, jumlah mangsa banjir masih kekal sebanyak 123 orang daripada 32 keluarga petang ini, dengan Seketariat JPBN menerusi kenyataan memaklumkan 103 mangsa daripada 25 keluarga ditempatkan PPS SK Parit Penghulu manakala 20 mangsa daripada tujuh keluarga berada di PPS SK Seri Mendapat, dua-duanya di Jasin.
-- BERNAMA
#banjir #mangsa banjir #menurun #PPS
;