Banjir: Jumlah mangsa di tiga negeri menurun, dua tidak berubah

Bernama
Disember 8, 2024 10:45 MYT
Haiwan peliharaan milik penduduk kampung berlegar di kawasan ragut yang masih belum pulih sepenuhnya susulan banjir yang melanda, ketika tinjauan di sekitar tebatan banjir dekat Kampung Tersang, Pasir Mas, 7 Dis 2024. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir di Kelantan, Johor dan Kedah terus menurun pagi ini, manakala di Perak dan Melaka tidak berubah.
Di KELANTAN, 2,268 orang daripada 655 keluarga ditempatkan di empat pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 8 pagi ini, berbanding 2,925 orang malam tadi.
Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan jumlah itu membabitkan 2,199 mangsa (634 keluarga) di Tumpat yang berlindung di tiga PPS manakala 69 orang lagi di sebuah PPS di Pasir Mas.
Portal infobanjir.water.gov.my, Jabatan Pengairan dan Saliran pula merekodkan hanya Sungai Golok di Tumpat masih melepasi paras bahaya, dengan ketinggian 3.02 meter manakala Sungai Golok di Rantau Panjang dan Sungai Sokor di Tanah Merah melebihi paras waspada.
Penurunan juga berlaku di JOHOR apabila 408 orang masih berada di 13 PPS sehingga 8 pagi ini berbanding 436 mangsa pada 8 malam semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Tan Sri Dr Azmi Rohani dalam kenyataan berkata PPS yang dibuka melibatkan 10 buah di Segamat bagi menempatkan 276 mangsa daripada 84 keluarga, dua PPS di Tangkak dengan 100 mangsa daripada 27 keluarga dan satu PPS di Batu Pahat dengan 32 mangsa daripada 10 keluarga.
Beliau berkata paras Sungai Muar di Jeti Kampung Tekam, Segamat berada pada tahap bahaya manakala paras Sungai Muar di Buloh Kasap, juga di Segamat berada pada paras amaran.
Keadaan cuaca di kebanyakan daerah di Johor pagi ini juga adalah cerah kecuali Mersing yang dilaporkan hujan.
Di KEDAH, Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata jumlah mangsa banjir di negeri itu berkurangan kepada 610 orang daripada 172 keluarga setakat 8 pagi ini berbanding 784 orang daripada 223 keluarga, malam tadi.
Beliau berkata di daerah Kota Setar, 574 orang daripada 162 keluarga masih ditempatkan di tiga PPS iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Gunung, SK Simpang Tiga dan SK Alor Janggus.
Di daerah Kubang Pasu pula, 36 orang daripada 10 keluarga ditempatkan di sebuah PPS iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Indera Putera.
Sementara itu Sekretariat JPBN PERAK dalam kenyataan memaklumkan jumlah mangsa banjir pagi ini masih kekal 131 orang daripada 45 keluarga di empat PPS melibatkan daerah Kinta, Perak Tengah serta Manjung.
Seramai 92 mangsa daripada 31 keluarga berlindung di dua PPS di daerah Kinta, manakala 34 mangsa daripada 11 keluarga masih ditempatkan di tiga PPS di Perak Tengah serta lima mangsa daripada tiga keluarga berada di sebuah PPS di Manjung.
Jabatan Pengairan dan Saliran Perak juga memaklumkan paras air Tasik Temenggor, Banding di Hulu Perak berada pada paras bahaya setinggi 243.29 meter (m) berbanding paras normal 240.0m serta Sungai Rui di Jambatan Jalan Raya Perak juga berada pada paras bahaya setinggi 166.17m berbanding paras normal 165.10m.
Di MELAKA, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan jumlah mangsa banjir juga kekal 92 orang daripada 23 keluarga pada 8 pagi ini dengan 81 mangsa daripada 19 keluarga ditempatkan di PPS SK Parit Penghulu manakala 11 mangsa daripada empat keluarga ditempatkan di PPS SK Seri Mendapat.
-- BERNAMA
#banjir #mangsa banjir #PPS #paras air sungai
;