Banjir: Jumlah mangsa di Perak kekal, Selangor berkurang

Bernama
Oktober 23, 2024 10:30 MYT
Di Perak, 286 orang daripada 78 keluarga masih berlindung di empat pusat pemindahan sementara setakat jam 6 pagi ini. - Foto fail/APM Perak
KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir di Perak kekal dengan 286 orang daripada 78 keluarga masih berlindung di empat pusat pemindahan sementara (PPS) pagi ini.
Menurut laporan terkini kejadian bencana dikeluarkan Pusat Kawalan Bencana Negara (NADMA) setakat 6 pagi, sebanyak 216 mangsa daripada 59 keluarga dipindahkan di daerah Hilir Perak, Kerian (36 mangsa, 11 keluarga) dan Perak Tengah (34 mangsa, lapan keluarga).
Di SELANGOR, jumlah mangsa banjir berkurangan kepada 25 orang daripada lapan keluarga pagi ini dan ditempatkan di dua PPS di daerah Kuala Selangor dan Sabak Bernam berbanding 61 orang daripada 19 keluarga, malam tadi.
Sementara itu, dua PPS di Betong dan Kuching di Sarawak dibuka bagi menempatkan 60 mangsa daripada 16 keluarga yang terlibat dalam kejadian kebakaran.
-- BERNAMA
#banjir #PPS #NADMA #mangsa banjir
;