Banjir: Jumlah kerugian Taman Pertanian Negeri Sekayu mencecah RM1 juta

Bernama
Mac 1, 2022 16:35 MYT
Banjir kali ini adalah yang paling teruk pernah berlaku menyebabkan kemusnahan terhadap beberapa prasarana. - Bernama
HULU TERENGGANU: Jumlah kerugian di Taman Pertanian Negeri Sekayu (TPNS) akibat banjir besar yang melanda daerah Hulu Terengganu sejak Jumaat lepas dianggarkan mencecah RM1 juta.
Pengurus TPNS Mohd Amran Awang berkata, banjir kali ini adalah yang paling teruk pernah berlaku menyebabkan kemusnahan terhadap beberapa prasarana, antaranya Pusat Repisotori Kelulut Indo-Malaya, yang dibuka pada 2016 hasil kerjasama dengan Universiti Malaysia Terengganu (UMT).
"Kerosakan turut berlaku di dewan besar, taman tema kolam renang, asrama penginapan untuk pengunjung, dewan makan, surau, taman kanak-kanak dan di beberapa jalan, serta hakisan tebing sungai.
"Pendawaian elektrik di kesemua prasarana itu juga rosak teruk dan kami menjangka proses baik pulih semua kerosakan ini mengambil masa tiga bulan. TPNS diijangka sedia menerima kedatangan pengunjung paling awal pun pada Julai ini," katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.
TPNS yang berkeluasan 85 hektar itu mempunyai pelbagai kebun buah-buahan komersial, tanaman nadir, herba, orkid dan hutan semula jadi yang kaya dengan flora dan fauna.
Ia mula dibangunkan pada 1982 bagi tujuan agropelancongan, ekopelancongan dan edupelancongan di samping menyediakan kemudahan rekreasi kepada orang ramai.
Amran berkata satu daripada tarikan utama di TPNS adalah taman tema air yang dibina pada 2008 dan mampu menampung kapasiti 300 pengunjung pada satu-satu masa.
"Ia sepatutnya dibuka pada hari ini setelah lama ditutup akibat tengkujuh yang bermula pada November lepas. Ramai pengunjung setia menyatakan kekecewaan mereka setelah melihat kerosakan di kolam renang berkenaan.
"Ketinggian air di taman tema itu ialah dua meter dan lumpur yang berada di dasar kolam renang ialah setengah meter. Ia amat menyukarkan kerja-kerja pembersihan," katanya.
-- BERNAMA
#taman pertanian #Sekayu #banjir #prasarana
;