Banjir: JPNT aktifkan Ops Payung hadapi SPM esok

Bernama
Disember 1, 2024 17:08 MYT
Jelani berkata JPNT telah mengenal pasti sebanyak 1,734 calon SPM daripada 20 buah sekolah di enam daerah yang terjejas akibat banjir besar kali ini. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA TERENGGANU: Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) telah mengaktifkan Ops Payung untuk memastikan calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dapat menduduki peperiksaan dengan lancar esok.

Ringkasan AI
  • Aktivasi Ops Payung oleh JPNT: Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) telah mengaktifkan Ops Payung untuk memastikan 1,734 calon SPM dari 20 sekolah di enam daerah yang terjejas akibat banjir dapat menduduki peperiksaan dengan lancar.
  • Penempatan Calon di Asrama dan PPS: Sebanyak 1,155 calon telah ditempatkan di asrama untuk menduduki ujian bertutur, manakala calon yang berada di rumah dan PPS akan diangkut ke pusat peperiksaan alternatif.
  • Cabaran Calon SPM: Seorang calon SPM, Muhammad Aidil Adwa Irfan Zulkifli, memilih untuk tinggal di PPS bagi menjaga adiknya dan terpaksa mengulang kaji menggunakan telefon bimbit kerana tidak sempat membawa buku-bukunya akibat banjir.

Pengarahnya Jelani Sulong berkata pihaknya telah mengenal pasti sebanyak 1,734 calon SPM daripada 20 buah sekolah di enam daerah yang terjejas akibat banjir besar kali ini.
Beliau berkata sebanyak 1,155 daripada calon tersebut telah ditempatkan di asrama, bagi membolehkan mereka menduduki ujian bertutur yang berlangsung mulai 2 hingga 5 Dis nanti.
"Calon terjejas ada yang masih berada di rumah, ada yang ditempatkan di asrama dan ada yang di PPS.
"Calon yang berada di rumah akan dikumpulkan di satu tempat dan diangkut ke pusat peperiksaan alternatif. Begitu juga 261 calon peperiksaan yang berada di PPS," katanya ketika dihubungi hari ini.
Jelani berkata perancangan teliti telah diatur daripada semua aspek bagi memastikan semua pelajar dapat mengambil peperiksaan dengan lancar.
Bagaimanapun pada masa sama beliau menasihatkan calon supaya tidak bermain air dan menjaga keselamatan masing-masing.
Sementara itu seorang calon SPM Muhammad Aidil Adwa Irfan Zulkifli, 17, berkata meskipun ditawarkan untuk tinggal di asrama sepanjang banjir bagi membolehkan dia fokus untuk mengulang kaji, namun dia menolak kerana ingin menjaga adiknya yang berumur 12 tahun, di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Telaga Papan di Setiu.
"Memang cikgu bertanyakan sama ada saya ingin tinggal di asrama tetapi saya menolak kerana ingin membantu ibu menjaga adik di PPS ini," katanya ketika ditemui di PPS SK Telaga Papan di Setiu hari ini.
Pelajar SMK Penarik aliran Perdagangan yang berpindah ke PPS tersebut sejak semalam itu berkata dia mencuri masa mengulang kaji sebagai persediaan SPM pada waktu malam di kelas-kelas yang kosong di PPS tersebut supaya lebih fokus.
Anak sulung daripada dua beradik yang mengambil tujuh subjek SPM itu juga terpaksa mengulang kaji menggunakan telefon bimbitnya, memandangkan dia tidak sempat membawa buku-buku.
"Pada awalnya buku-buku saya letak di atas rak yang tinggi di rumah dan bercadang untuk bawa ke PPS sekiranya banjir. Tetapi air naik sangat mendadak semalam sehingga saya tidak sempat membawa buku ke PPS," katanya.
Muhammad Aidil Adwa Irfan menambah ini merupakan kali kedua rumahnya di Perumahan Tabung Haji di Setiu, dilanda banjir selepas kali pertama pada 2022.
-- BERNAMA
#Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu #Ops Payung #calon SPM #Banjir 2024 #monsun timur laut #terkini
;