Banjir: JPN tawar penggantian dokumen pengenalan diri tanpa denda - Saifuddin

Bernama
Oktober 4, 2024 16:32 MYT
Saifuddin menasihati orang ramai untuk sentiasa berwaspada dengan keadaan cuaca, terutamanya menjelang musim tengkujuh. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menawarkan perkhidmatan penggantian dokumen pengenalan diri seperti kad pengenalan dan sijil lahir tanpa denda kepada mangsa banjir.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata ia merupakan komitmen Kementerian Dalam Negeri (KDN) khususnya JPN untuk membantu mangsa bencana itu.
"Kalau mangsa banjir tidak sempat menyelamatkan dokumen pengenalan diri seperti sijil lahir atau MyKad (yang) hilang, rosak atau sebagainya, segera datang ke pejabat JPN untuk membuat penggantian selepas banjir selesai.
"Kalau ada yang terlibat (banjir) baru-baru ini, maklum (kepada pegawai terlibat) bahawa anda merupakan (antara) yang terlibat dengan banjir," katanya menerusi video yang dimuat naik di akaun Facebook beliau hari ini.
Beliau juga menasihati orang ramai untuk sentiasa berwaspada dengan keadaan cuaca, terutamanya menjelang musim tengkujuh yang lazimnya melanda Pantai Timur pada hujung tahun.
"Berpindah (jika diarahkan) tepat pada masanya dan tanpa berlengah. Beri kerjasama (kepada pihak berkuasa) dan sentiasa jaga keselamatan diri dan keluarga," katanya.
Saifuddin Nasution turut berterima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengumumkan peruntukan RM13 juta bagi bantuan pascabanjir di Kedah sekali gus mencerminkan komitmen Kerajaan Perpaduan menjaga kebajikan rakyat melebihi batasan politik.
Selain itu, beliau juga mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa lemas Salmah Mat Zain, 46, dan anaknya, Muhammad Rosman Rohaidi, 19, yang dihanyutkan arus deras semasa meredah banjir di Padang Terap, Kedah baru-baru ini.
-- BERNAMA
#perkhidmatan penggantian dokumen pengenalan diri #Jabatan Pendaftaran Negara #Saifuddin Nasution #mangsa banjir
;