Banjir Johor: Tiga jalan utama masih terjejas
Sinar Harian
Disember 29, 2023 16:52 MYT
Disember 29, 2023 16:52 MYT
JOHOR BAHRU: Tiga jalan utama melibatkan Jalan Kampung Orang Asli Peta di Bukit Cantik, Mersing; Jalan Jabi-Bukit Tempurung, Segamat; dan Jalan Kota Tinggi-Kluang dilaporkan masih terjejas setelah dinaiki air banjir baru-baru ini.
Berdasarkan laporan daripada Jabatan Kerja Raya Malaysia Negeri Johor, setakat jam 12 tengah hari Jumaat, Jalan Kampung Orang Asli Peta berada dalam status terputus hubungan dan pemantauan sedang dilakukan dari semasa ke semasa di kawasan terbabit.
Bagi Jalan Jabi-Bukit Tempurung di laluan J156, Seksyen 6.40 - 6.70 pula, ia hanya dibuka kepada kenderaan berat ketika ini.
Bagaimanapun, hanya satu lorong dibuka di Jalan Kota Tinggi - Kluang di laluan FT091, Seksyen 70.2 -70.2 dengan pemantauan dari semasa ke semasa dilakukan oleh pihak berwajib.
Selain itu, lima sungai di negeri ini merekodkan trend penurunan, biarpun ada yang masih mencatatkan bacaan di aras amaran dan aras waspada.
Setakat jam 12 tengah hari, Jumaat, Sungai Lenik di Ladang Chaah, Segamat merekodkan bacaan 5.56 meter (m) berbanding 5.59m sebelum ini dengan aras bahaya pada bacaan 6.00m.
Empat sungai lagi merekodkan bacaan pada aras waspada seperti Sungai Muar di Buloh Kasap, Segamat yang mencatatkan bacaan 7.93m dengan aras bahaya pada 9.14m, Sungai Tangkak di Kampung Seri Makmur, Tangkak (3.37m, aras bahaya 4.00m), Sungai Siku di Kampung Murni Jaya, Kulai (17.56m, aras bahaya 18.10) dan Sungai Ayer Hitam di Kampung Mawai, Kota Tinggi merekodkan bacaan 3.08m dengan aras bahaya 6.00m.
Jabatan Meteorolgi Malaysia (Met-Malaysia) pula melaporkan tiada amaran hujan berterusan di seluruh negara namun amaran ribut petir/hujan lebat diramalkan berlaku di Kluang, Mersing dan Kota Tinggi.
Sementara itu, tiga pusat pemindahan sementara (PPS) bagi menempatkan mangsa banjir masih beroperasi melibatkan PPS Dewan Komuniti Taman Tasek, PPS Balairaya Kampung Batu Badak dan PPS Balairaya Kampung Jabi di Segamat.
Setakat ini, dilaporkan seramai 63 mangsa banjir daripada 16 keluarga berada di ketiga-tiga PPS berkenaan. -Sinar Harian