Banjir Johor: Tiga fasiliti kesihatan masih tidak beroperasi
Bernama
Mac 22, 2023 14:40 MYT
Mac 22, 2023 14:40 MYT
ISKANDAR PUTERI: Tiga fasiliti kesihatan masih tidak dapat beroperasi di negeri ini akibat terjejas banjir, Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor diberitahu.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Johor Ling Tian Soon berkata dua fasiliti kesihatan tidak selamat beroperasi iaitu Klinik Desa Kundung Ulu, Tangkak dan Klinik Kesihatan Chaah, Segamat manakala Klinik Desa Sri Pandan dalam proses pembersihan.
"Buat masa ini, kedua-dua fasiliti tersebut (Klinik Desa Kundung Ulu dan Klinik Kesihatan Chaah) dipindahkan pengoperasiannya di Klinik Kesihatan Gersik dan Dewan Serbaguna Chaah.
"Bagi satu lagi fasiliti kesihatan, Klinik Desa Sri Pandan, masih dalam proses pembersihan," kata beliau ketika sesi penggulungan pada Mesyuarat Pertama (Pembukaan Rasmi) Penggal Persidangan Kedua DUN Johor ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di sini, hari ini.
Ling (BN-Yong Peng) berkata banjir yang bermula 28 Feb lepas, telah menjejaskan operasi 41 fasiliti kesihatan, seperti klinik kesihatan dan klinik desa, di negeri ini.
Beliau berkata setakat semalam, 38 daripada keseluruhan fasiliti terjejas sudah kembali beroperasi selepas air surut dan kerja-kerja pembersihan dilakukan.
Justeru, katanya, Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) telah menghantar permohonan bagi peruntukan khas kepada Kementerian Kesihatan Malaysia bagi pembaikan dan pembelian peralatan perubatan dan bukan perubatan serta kenderaan yang rosak akibat bencana banjir ini.
"Jumlah permohonan adalah sebanyak RM2,894,175 dan mudah-mudahan permohonan ini dapat disegerakan dan diberi perhatian oleh Yang Berhormat Dr Zaliha Mustafa Menteri Kesihatan Malaysia merangkap Ahli Parlimen Sekijang, supaya semua fasiliti kesihatan dapat beroperasi seperti sedia kala," katanya.
Ling berkata sepanjang musim banjir ini JKNJ telah menubuhkan pasukan mobil yang bergerak dari satu pusat pemindahan sementara (PPS) ke PPS yang lain.
"Sebanyak 91 pasukan dengan kekuatan 455 orang petugas kesihatan bergerak untuk menjalankan ujian saringan kesihatan dan mengenal pasti jika ada penularan wabak di PPS dan setakat hari ini semuanya masih terkawal.
"Selain itu turut diselitkan pendidikan kesihatan kepada penduduk-penduduk yang mendiami PPS," tambah Ling.
Setakat hari ini, lebih 85,000 mangsa direkodkan terjejas akibat bencana itu.
-- BERNAMA