Banjir Johor: Pontian daerah baharu terjejas

Siti Nur Aqilla Omar
Januari 25, 2023 13:02 MYT
Pontian menjadi daerah terbaharu dilanda banjir dengan pembukaan satu PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Melayu Raya yang menempatkan 18 mangsa daripada empat keluarga. - Gambar/ APM
JOHOR BAHRU: Banjir di Johor semakin memburuk dengan 5,462 mangsa daripada 1,218 keluarga ditempatkan di 48 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di tujuh daerah, setakat jam 7 malam.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Azmi Rohani berkata, Pontian menjadi daerah terbaharu dilanda banjir dengan pembukaan satu PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Melayu Raya yang menempatkan 18 mangsa daripada empat keluarga.
Katanya Segamat kekal menjadi daerah tertinggi menempatkan mangsa banjir iaitu 1,536 mangsa banjir daripada 431 daripada 19 PPS.
"Ia diikuti jumlah mangsa banjir di Kluang seramai 1,235 mangsa banjir daripada 356 keluarga ditempatkan di 12 PPS.
"Kota Tinggi menempatkan 597 mangsa banjir daripada 145 keluarga di enam PPS," katanya menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.
Jelas Azmi, Mersing pula menempatkan 851 mangsa banjir daripada 258 keluarga di lima PPS, manakala Batu Pahat menempatkan 119 mangsa banjir daripada 35 keluarga di dua PPS.
"Di Muar pula terdapat tiga PPS yang menempatkan 206 mangsa banjir daripada 46 keluarga," katanya.
#banjir johor #info banjir terkini #banjir memburuk #PPS