Banjir Johor: Penduduk Kg. Bukit Limau Manis reda dengan banjir, hanya mampu berdoa hujan tidak lebat

Firdaus Azil
Januari 5, 2022 13:12 MYT
Zanesa Samsudin, 43, berkata, banjir yang melanda Segamat, termasuk Kampung Bukit Limau Manis ini dikira ketiga paling besar, didahului banjir pada tahun 2011 dan 2006. - Astro AWANI
SEGAMAT: Biarpun cuaca semakin baik di daerah Segamat, namun paras air banjir di beberapa kawasan di sini masih tinggi, dan langsung tidak boleh diakses dengan jalan darat.
Penduduk Kampung Bukit Limau Manis di sini, Zanesa Samsudin, 43 berkata, ketika ini akses untuk ke kampungnya hanyalah melalui laluan Sungai Chodan, yang kira-kira 8 kilometer (km) dari Jalan Utama, berbanding 2km melalui Jalan Segamat-Pogoh, Bukit Kepong pada waktu biasa.
Dia, yang lebih mesra dipanggil Abang Isa, berkata, banjir yang melanda kawasan ini dikira ketiga paling besar, didahului banjir pada tahun 2011 dan 2006.
“Kalau ikutkan, faktornya kerana kapasiti hujan yang turun. Air hujan dari Negeri Sembilan turun ke sini. Lepas tu faktor air pasang besar, jadi air tu tak turun dan akan datang balik, bercampur pula dengan air dari yang turun dari kawasan hulu.
“Kampung Limau Manis dan kawasan sekitar ni sebenarnya memang takungan air. Sebab mereka nak mengelakkan kawasan bandar di hulu sana menjadi lebih teruk. Contoh kawasan berhampir Pogoh 2 di sana, tidak ditambak supaya laluan air akan mengalir ke sini,” katanya lagi.

#BanjirJohor #Segamat Tiada cara lain untuk ke sesetengah kawasan yang dinaiki air melainkan bot. Dalam perjalanan ke Kampung Sungai Limau Manis, Abang Isa cakap dalam 50 keluarga masih terperangkap di sana. @501Awani pic.twitter.com/Je5P1qEXFd

— Firdaus Azil (@FirdausAzil) January 5, 2022
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Banjir | Perkembangan di Johor
Zanesa berkata, tiada apa lagi yang boleh dilakukan melainkan hanya berdoa jika hujan turun, ia tidak selebat seperti yang terjadi baru-baru ini.
Tinjauan Astro AWANI sepanjang menaiki bot bersama-sama badan bukan kerajaan (NGO) My Hope Hero, meredah Sungai Chodan selamat 30 minit mendapati, banyak kawasan dinaiki air setinggi 2 meter, termasuk kawasan Kampung Limau Manis ini.
Seorang lagi penduduk Kampung Limau Manis, Tuah Hassan berkata, 53, berkata, setakat ini Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang berhampiran terletak di Pogoh 2, dan hanya boleh diakses dengan bot.
Setakat ini, katanya lagi, bantuan seperti makanan dan ubat-ubatan datang dari badan-badan bukan kerajaan.
Namun Tuah berkata, beliau khuatir dengan keadaan ibunya yang perlu menukar tiub untuk makanan setiap dua minggu sekali di hospital, ekoran penyakit sawan yang dihadapi ibunya itu.
“Syukur bekalan ubat untuk ibu saya masih ada, cuma saya harapkan air cepat surut kerana perlu bawa ibu saya ke Hospital Segamat dalam tempoh seminggu ni untuk tukar tiub… kalau tak sempat saya mohon mungkin pegawai-pegawai kesihatan di hospital boleh ikhtiarkan sesuatu,” katanya lagi.
Dalam pada itu wakil NGO My Hope Hero, Adhwa Hakim berkata, mereka mendapat maklumat tentang Kampung Sungai Limau yang langsung terputus hubungan.
“Presiden berhubung dengan orang tempatan, kampung ni terputus bekalan. Jadi kami turun ke sini untuk bekalkan bahan asas seperti minyak, beras untuk kegunaan harian.
“Tetapi yang baiknya penduduk di sini memang ada bot, jadi kami bekalkan petrol untuk mereka bantu kami ambil bantuan di darat,” katanya lagi.
#banjir johor #Kampung Limau Manis #NGO My Hope Hero #Segamat
;