Banjir Johor: Bandar Kota Tinggi ditenggelami air
Astro Awani
Januari 3, 2021 20:01 MYT
Januari 3, 2021 20:01 MYT
KOTA TINGGI: Kejadian banjir di Johor semakin teruk dengan bandar Kota Tinggi pula mula ditenggelami air.
Tinjauan di lokasi mendapati sungai Kota Tinggi mula melimpah ke kawasan bandar, sejak pagi Ahad.
Terdapat empat jalan yang ditutup kepada kenderaan ringan.
Antaranya ialah Jalan Sungai Sayong, Kota Tinggi (jambatan Sungai Sayong), Jalan Tun Sri Lanang, Kota Tinggi, Jalan Semanggar, Kota Tinggi (Jambatan) dan Jalan Mawai Lama.
Usahawan baju kurung, Luqman Aqil Hashim berkata air banjir naik secara mendadak dengan pantas.
Katanya pada malam Sabtu, kawasan bandar masih boleh dilalui dan tidak banjir.
"Sangat drastik kenaikan air, memang tiba-tiba semakin cepat naik. Malam tadi okey sahaja, mula dari 7 pagi air mula naik dengan cepat,” katanya ketika ditemui di jambatan Kota Tinggi.
Sementara itu, pekerja pendawaian elektrik, S. Jeevanesh berkata banjir kali ini adalah kedua terburuk selepas banjir besar pada tahun 2007.
Sehingga jam 6 petang tadi, terdapat 1,223 mangsa daripada 278 keluarga di Kota Tinggi yang ditempatkan di 16 pusat pemindahan sementara (PPS).
Selain empat jalan di Kota Tinggi, Jalan Haji Suhud, Taman Muhibbah di Johor Bahru Juga tidak boleh dilalui akibat jambatan runtuh.
Turut tidak bolej dilalui, Jalan Batu Pahat-Mersing, Kluang (Pertubuhan Peladang Negeri Johor) dan Jalan Batu Pahat-Kluang (Ladang Pelangi).
Sementara tiga laluan lagi hanya boleh dilalui kenderaan berat iaitu Jalan Kluang-Mersing, Kluang (Kampung Contoh, Kahang) Kerana Tebing Runtuh.
Selain dua lagi laluan masing-masing di Jalan Batu Pahat-Kluang (Ladang Paloh) Dan Jalan Batu Pahat-Kluang (SMK Kahang).
Banjir | Situasi di Johor