Banjir Johor: Abang Salleh sanggup redah arus kerana tangisan mangsa kelaparan

Shuhada Abdul Kadir
Mac 3, 2023 19:16 MYT
Abang Salleh tekad menghubungi beberapa penduduk berhampiran yang tidak terjejas dengan bencana itu dan meminta bantuan mereka untuk menyediakan beberapa juadah kepada mangsa-mangsa banjir di PPS itu. - Foto Astro AWANI
SEGAMAT: Tangisan dan keluhan kanak-kanak serta golongan warga emas yang sudah hampir 48 jam tidak dapat menjamah makanan membuatkan seorang mangsa banjir Mohd Salleh Ishak tekad meredah arus banjir bagi mendapatkan bantuan makanan.
Menceritakan hal itu, bekas Askar Wataniah itu berkata, keluarganya serta kira-kira 60 keluarga lain mula berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Bali di Chaah, di sini pada awal Rabu.
Bagaimanapun, situasi luar jangka dan paras air yang tinggi beserta arus deras di laluan masuk ke sekolah itu menyebabkan bantuan tidak boleh dihantar sehingga menyebabkan kesemua mangsa terpaksa menahan lapar selama dua malam.
Abang Salleh, 47, kemudian tekad menghubungi beberapa penduduk berhampiran yang tidak terjejas dengan bencana itu dan meminta bantuan mereka untuk menyediakan beberapa juadah kepada mangsa-mangsa banjir di PPS itu.
“Tindakan saya redah arus itu memang inisiatif terakhir saya lah kerana memang ketika itu tidak ada bantuan yang dapat masuk ke PPS kami dan saya pun cuba minta tolong jiran-jiran di kawasan berhampiran untuk masak di rumah mereka.
BACA: Johor dijangka terima hujan luar biasa sehingga akhir Mac akibat peralihan monsun
“Tetapi, masalah pada awalnya itu adalah bagaimana makanan yang dimasak itu hendak dibawa ke PPS kerana arus memang sangat deras dan tanpa berfikir panjang, berdasarkan pengalaman lebih 10 tahun bersama Askar Wataniah, saya nekad redah dan ambil makanan-makanan itu.
BACA: Agong mahu kerajaan kaji punca banjir tahunan, cari penyelesaian
“Apa yang saya fikir ketika itu hanyalah keadaan anak-anak kecil di PPS ini yang sudah mula menangis kerana kelaparan dan hanya berdoa supaya tidak ada sebarang perkara tidak diingini berlaku,” katanya ketika ditemui Astro AWANI, di sini.
Johor benarkan masjid dijadikan sebagai PPS
Sebelum ini, keberanian Mohd Salleh yang mesra di sapa Abang Salleh oleh penduduk setempat dalam memastikan bantuan makanan sampai ke PPS tular di aplikasi TikTok dan mendapat perhatian warga maya.
DI SINI ADA TIP UNTUK KEKAL SELAMAT SEWAKTU BANJIR
Ujar Salleh, yang bermastautin di Kampung Jawa Baru turut berkata, dia terpaksa bertindak meredah arus sebanyak lima kali sebelum berhenti, selepas paras air naik secara mendadak dengan arus yang deras.
“SK Seri Bali ini sejak tahun 1980-an lagi memang biasa dijadikan PPS, tetapi tidak pernah langsung dinaiki air. Namun, kali ini berbeza apabila air memasuki kawasan sekolah setinggi dua kaki dan mangsa yang berada di PPS terpaksa bergegas pindah ke kelas di tingkat atas.
“Situasi kali ini memang menyayat hati kerana pada awalnya mereka semua terpaksa kelaparan dan apabila saya dapat ambil makanan, mereka terpaksa pula catu makanan kerana bimbang air lambat surut dan bantuan tidak dapat masuk ke kawasan itu,” tambah Mohd Salleh.
Setakat 7 petang Jumaat, Johor mencatat 32,522 mangsa dari 9,231 keluarga yang ditempatkan di 241 PPS.
Abang Salleh redah arus kerana tangisan mangsa kelaparan
#hero tidak didendang #Mohd Salleh Ishak #banjir besar Johor #aplikasi TikTok
;