Banjir: Jangan bersifat anti-demokratik, gesa Majlis Presiden PH kepada SKMM

Firdaus Azil
Disember 25, 2021 13:53 MYT
Majlis Presiden Pakatan Harapan berkata, tindakan SKMM itu seolah-olah cuba membawa negara ke arah sifat kuku besi diktator yang dakwa mereka, pernah dilihat rakyat Malaysia satu ketika dulu.
KUALA LUMPUR: Tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) yang cuba meminta Twitter memadamkan kritikan rakyat Malaysia terhadap kerajaan Persekutuan bersifat anti-demokratik.
Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) dalam satu kenyataan hari ini berkata, tindakan SKMM itu seolah-olah cuba membawa negara ke arah sifat kuku besi diktator yang dakwa mereka, pernah dilihat rakyat Malaysia satu ketika dulu.
Menurut kenyataan itu lagi, tindakan itu tidak sepatutnya berlaku, apatah lagi apabila negara sedang merangka masa depan yang berpaksikan digitalisasi dan teknologi maklumat yang lebih terbuka.
“Kegagalan kerajaan Persekutuan telah menerima kritikan keras daripada media sosial di Facebook dan Twitter, khususnya para menteri yang begitu layu dan lemah dalam respons menyelamat dan membantu mangsa sehingga diberi gelaran ‘pelancong banjir’.
“Tindak balas kerajaan Persekutuan atas kritikan-kritikan berasas ini bukan sahaja gagal meningkatkan mutu perkhidmatan para menteri sebaliknya cuba menghukum dan menutup mulut rakyat.
“Apakah kritikan-kritikan ini begitu menggugat keselamatan negara sehingga Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) terpaksa meminta Twitter memadam kritikan para netizen ini?” soal Majlis Presiden PH lagi.
Baru-baru ini beberapa pengguna Twitter mendakwa menerima e-mel dari Twitter, memaklumkan terdapat permintaan daripada SKMM untuk memadamkan beberapa ciapan mereka yang didakwa menyalahi undang-undang.
Bagaimanapun, Twitter memaklumkan tidak akan melayani permintaan itu dan percaya pada kebebasan bersuara.
Dalam maklum balas yang diterima Astro AWANI, SKMM memaklumkan agensi itu sentiasa menghormati penyedia platform seperti Twitter.

Some of you Malaysians might have received notice from @Twitter about your tweets, deemed as violating our laws. I voiced out the matter to MCMC / SKMM, as well as the Ministry, and this was the official response received. So yeah.. pic.twitter.com/mtYaTZkzzR

— Firdaus Azil (@FirdausAzil) December 23, 2021
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
“Begitu juga pihak MCMC (SKMM) bertanggungjawab untuk memastikan adanya pematuhan undang-undang yang tersedia dalam Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 untuk kepentingan negara.
“Oleh itu pihak MCMC telah mengambil tindakan untuk melaporkan kepada pihak Twitter berhubung penggunaan beberapa hashtag yang jelik,” kata SKMM lagi.
#banjir #Twitter #SKMM #hashtag jelik
;