Banjir: Jangan ambil mudah, rakyat Kelantan perlu patuh arahan pihak berkuasa - MB

Bernama
Disember 18, 2021 04:57 MYT
Ahmad turut mengingatkan rakyat Kelantan supaya meningkatkan kawalan kendiri dengan mematuhi SOP ketika berada di PPS. - Gambar fail
KOTA BHARU: Rakyat Kelantan perlu mematuhi segala arahan dan panduan yang dikeluarkan pihak berkuasa sekiranya dikehendaki berpindah dari kediaman masing-masing semasa bencana banjir.
Menteri Besarnya Datuk Ahmad Yakob berkata situasi sedemikian tidak boleh diambil mudah bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.
"Apabila arahan berpindah dikeluarkan, hendaklah semua pihak mengambil langkah segera untuk berpindah dan sebolehnya dilaksanakan sebelum waktu Maghrib," katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya semalam.
Ahmad turut mengingatkan rakyat negeri itu supaya meningkatkan kawalan kendiri dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan ketika berada di pusat pemindahan sementara (PPS) bagi mengelakkan penularan wabak COVID-19.
"Bilik Gerakan banjir setiap jajahan yang terlibat berada dalam keadaan siap sedia dengan kerjasama bersepadu pasukan keselamatan termasuk sukarelawan untuk memastikan proses pemindahan dan agihan bantuan banjir berjalan lancar.
"Saya juga telah mengarahkan semua wakil rakyat terutama di kawasan berisiko banjir supaya sentiasa siap sedia membantu mangsa banjir dengan penyelarasan bersama Pusat Kawalan Operasi Bencana Jajahan (PKOB)," katanya.
-- BERNAMA
#patuhi arahan pihak berkuasa #Ahmad Yakob #kawalan kendiri #banjir kelantan
;