Banjir: JAKOA akan pastikan masalah Orang Asli diselesaikan
Bernama
Januari 10, 2024 22:52 MYT
Januari 10, 2024 22:52 MYT
KLUANG: Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) akan memastikan setiap masalah yang dihadapi mangsa banjir melibatkan masyarakat Orang Asli di seluruh negara, akan diselesaikan segera.
Ketua Pengarah JAKOA Datuk Sapiah Mohd Nor berkata masalah berkenaan, tidak hanya tertumpu kepada bekalan makanan dan juga keperluan harian sahaja, tetapi ia meliputi segala aspek.
Beliau berkata pihaknya akan sentiasa memantau kawasan perkampungan Orang Asli, khususnya dengan pegawai dan kakitangan jabatan tersebut dan akan cuba menyelesaikan masalah yang timbul secepat mungkin.
"Ini berikutan susulan terdapatnya masalah terhadap mesin janakuasa di Kampung Orang Asli Pucur, Kahang di Kluang ini, di mana mangsa banjir terpaksa bergelap dan perlu menggunakan lilin untuk beberapa hari.
"Usaha membaiki bahagian dan menghantar alat ganti pada janakuasa itu tertangguh, akibat terputusnya jalan darat, namun kita akan usahakannya seberapa segera," katanya selepas misi menghantar bekalan makanan kepada mangsa banjir di Kampung Kampung Orang Asli Pucur dan Kampung Orang Asli Sedohok, di sini, hari ini.
Seramai 106 penduduk Kampung Orang Asli Pucur dan 177 penduduk Orang Asli Sedohok hari ini menerima bantuan bekalan makanan seperti beras, air mineral dan makanan dalam tin, yang dijangka mencukupi untuk kegunaan selama dua minggu.
Sapiah berkata bantuan secara berterusan kepada mangsa banjir ini, akan disalurkan sehingga kawasan berkenaan tidak lagi banjir dan keadaan air benar-benar surut, serta tidak berisiko kepada penduduk untuk keluar mencari rezeki.
"Bantuan bekalan makanan melalui serahan 'Bakul Makanan' seliaan JAKOA ini, tidak tertumpu kepada bencana banjir semata-mata, namun turut merangkumi bencana lain seperti kejadian tanah runtuh dan serangan binatang buas," katanya.
Sementara itu, Tok Batin Kampung Orang Asli Pucur Semanggar Ahmad berkata akibat kerosakan pada janakuasa terbabit, sebanyak 27 keluarga di kampung itu bergelap selama seminggu.
"Selain menggunakan lilin, ada juga yang menggunakan mesin janakuasa kecil untuk digunakan pada waktu malam, namun perlu berjimat kerana bekalan petrol hanya boleh didapati di pekan Kahang dan perlu keluar dengan menggunakan bot," katanya.
-- BERNAMA