Banjir Jakarta jejas bekalan kuasa, lebih 1,000 orang dipindahkan

Agensi
Februari 9, 2021 17:18 MYT
Boneka anak beruang ini terbiar di sebuah gerai penjaja yang ditinggalkan pemiliknya berikutan kejadian banjir di Jakarta. - Reuters
JAKARTA: Banjir, hujan lebat dan bekalan kuasa elektrik yang terputus memaksa ramai warga Jakarta meninggalkan kediaman mereka, sejak Isnin, lapor Reuters.
Situasi yang diburukkan lagi dengan corak cuaca La Nina di ibu negara Indonesia itu dijangka berterusan sehingga Mac atau April.
Lebih daripada 1,000 orang di timur dan selatan Jakarta dipindahkan selepas hujan lebat berlanjutan semalaman, sekali gus mengakibatkan kediaman di sepanjang Sungai Ciliwung antara yang paling teruk dilanda banjir.
"Jika banjir ini semakin besar, kami terpaksa berlindung di tempat lain, namun jika ia kekal pada paras ini, mungkin kami mengambil keputusan untuk tidak ke mana-mana.
“Kebanyakan barang-barang kami sudah dinaikkan ke tingkat atas kediaman,” ujar salah seorang penduduk Isti Barokah yang rumahnya sudah dinaiki air.
Deretan rumah yang diperbuat daripada kepingan kayu di sepanjang sungai itu kini separuh tenggelam di dalam air lumpur berwarna perang, manakala kanak-kanak dilihat bermain berdekatan rumah masing-masing di dalam bah yang separas pinggang.
Pasukan bomba dan penyelamat yang memakai jaket keselamatan merah juga giat menjalankan tinjauan di kawasan terlibat, selain memberitahu warga tua dan kanak-kanak adalah antara yang terawal diselamatkan.
Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) telahpun mengeluarkan amaran tentang hujan lebat yang melanda Pulau Jawa, Bali dan sebahagian zon timur Indonesia.
Indonesia sering berdepan masalah banjir dan tanah runtuh, khususnya ketika musim hujan antara November hingga Mac.
Presiden Joko Widodo pada Oktober lalu pernah memberi amaran tentan impak buruk corak cuaca yang dibawa La Nina, seperti banjir, gelongsoran tanah dan kehilangan hasil pertanian, setelah BMKG menjangkakan jumlah hujan bulanan meningkat 20 hingga 40 peratus di atas paras normal.
Kejadian banjir di Jakarta itu berlaku selang beberapa hari selepas tular insiden sebuah kampung di Pekalongan, Jawa Tengah yang dinaiki air berwarna merah pekat berikutan kilang-kilang batik yang menggunakan bahan pewarna terjejas apabila dilanda bah.
BACA: Apabila air banjir jadi warna merah darah, orang kampung ini sudah tahu apa sebenarnya
#Jakarta #banjir #Indonesia #sungai ciliwung #BMKG #penduduk dipindahkan #pusat penempatan #bencana alam #hujan lebat #La nina
;