Banjir: Ini penyelesaian jangka pendek digariskan KASA
Astro Awani
Januari 20, 2022 13:47 MYT
Januari 20, 2022 13:47 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) menggariskan beberapa langkah penyelesaian jangka pendek dalam menangani bencana banjir pada masa hadapan.
Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, penyelesaian jangka pendek itu telah dikenal pasti oleh KASA susulan banjir yang melanda beberapa negeri pada penghujung tahun lalu.
Berikut langkah penyelesaian jangka pendek yang digariskan KASA:
(i) memastikan kesiapsiagaan infrastruktur tebatan banjir (pam, pintu air dan genset) dengan kerjasama kerajaan negeri supaya berfungsi pada tahap optimum dengan anggaran keperluan kos menjelang tahun 2023 sebanyak RM185 juta;
(ii) menyelenggara, mendalamkan dan membersihkan saliran utama, sungai serta kolam takungan banjir bagi meningkatkan kapasiti aliran dan takungan air larian permukaan dengan anggaran keperluan kos di pihak Kerajaan Persekutuan sebanyak RM200 juta sehingga tahun 2023;
(iii) menaik taraf 516 stesen siren sedia ada dengan penambahbaikan kepada sistem suara/siren amaran yang lebih berkesan serta dapat dibezakan dengan sistem siren ambulan polis. Di samping itu, 155 stesen kamera web sedia ada akan juga dinaik taraf di samping pembinaan 361 stesen kamera web baharu. Kerja-kerja ini melibatkan penambahbaikan kepada aspek perkongsian visual keadaan semasa di kawasan lembangan sungai dengan orang ramai agar lebih bersedia apabila paras air sungai mencapai tahap bahaya. Kedua-dua kerja ini melibatkan anggaran keperluan kos sebanyak RM160 juta sehingga tahun 2023;
(iv) mempertingkatkan program penyelidikan dan pembangunan (R&D) kesan perubahan iklim.
(v) mewujudkan Prosedur Tetap Operasi (PTO) bagi maklumat taburan hujan dan aras air serta mewujudkan flood evacuation map di mana kita telah membangunkan flood hazard map melibatkan 36 kawasan telah disediakan JPS manakala bagi 15 kawasan lagi sedang dalam penyediaan;
(vi) memberikan amaran awal kepada penduduk tentang fenomena air pasang besar dan kenaikan aras laut;
(vii) menaik taraf 100 buah stesen pencerapan cuaca permukaan automatik sedia ada yang telah usang dan tidak dapat beroperasi pada tahap optimum kepada peralatan baharu yang berteknologi tinggi dan canggih bagi mengeluarkan ramalan dan amaran cuaca dalam masa nyata (real time) dan boleh percaya (reliable);
(viii) meningkatkan keupayaan dan pembangunan aplikasi mudahalih myCuaca menggunakan Technology Cloud Services untuk penyampaian maklumat kritikal yang efisien dan berkesan kepada orang awam;
(ix) meningkatkan penglibatan pakar ramalan cuaca numerikal sedia ada bersama pakar-pakar daripada beberapa buah negara maju seperti United Kingdom, Amerika Syarikat, dan Jepun;
(x) penyediaan aplikasi khusus daripada produk-produk model ramalan cuaca numerikal untuk keperluan pemegang taruh, seperti ramalan banjir, keadaan alam sekitar, penerbangan dan perkapalan; dan
(xi) meningkatkan saiz storan pengkomputeran sedia ada bagi mengoperasikan ramalan terperinci beresolusi sub-kilometer bagi kawasan rentan dan mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi terutamanya di bandar-bandar utama seluruh Malaysia.