Banjir: Ibu, dua anak terperangkap dua hari di rumah rakan
Bernama
Disember 21, 2021 12:47 MYT
Disember 21, 2021 12:47 MYT
SHAH ALAM: Rancangan untuk bermalam bersama sahabat baik pada hujung minggu bertukar menjadi memori pahit buat seorang ibu kepada dua anak apabila terperangkap di dalam rumah kawannya itu selama dua hari akibat banjir.
Menceritakan pengalaman berhadapan banjir buat kali pertama dalam hidupnya, Hana Shaari, 33, berkata ketika tiba di rumah kawannya di Kampung Baru Hicom dekat sini Sabtu lepas, keadaan hujan agak lebat.
"Ketika itu saya membawa sekali anak-anak dengan niat untuk meluangkan masa bersama kawan, tetapi tidak menyangka kami akan terkepung bersama-sama akibat banjir," katanya kepada Bernama hari ini.
Beliau berkata kediaman kawannya yang masih bujang itu merupakan jenis rumah bandar (townhouse) yang berada di tingkat atas, manakala aras bawah dihuni keluarga saudara kawannya.
"Hujan lebat tanpa henti dan saya lihat air naik begitu pantas...air berada pada paras betis kira-kira 6 petang, terus naik menenggelamkan tingkat pertama rumah pada lewat tengah malam," katanya menambah keluarga saudara sahabatnya turut berlindung bersama mereka di tingkat atas.
Hana berkata beliau menghubungi suaminya bagi memberitahu situasi berkenaan dan meminta mencari jalan membawa mereka keluar dari kawasan tersebut.
Namun, beliau berkata suaminya juga berdepan kesukaran kerana rumah mereka di Balakong turut dinaiki air.
Tambah memburukkan keadaan katanya, kawasan rumah tersebut terputus bekalan elektrik serta mengalami gangguan telekomunikasi, malah ada beberapa penduduk menggunakan pelampung untuk menyeberang ke kawasan lebih tinggi bagi membeli barangan keperluan dan makanan.
Beliau berkata pihak bomba ada melalui kawasan mereka, namun bantuan tidak dapat dihulurkan memandangkan pasukan penyelamat itu dipercayai menumpukan usaha menyelamat penduduk di Taman Sri Muda yang lebih teruk terjejas.
"Rakan-rakan saya yang mengetahui kejadian itu cuba menghubungi pemilik bot yang melakukan kerja-kerja sukarelawan untuk menyelamatkan kami di sini dan bot kemudian tiba kira-kira 7 malam semalam," katanya yang kini menumpang di rumah ibu saudaranya di Putrajaya.
Meskipun keretanya ditenggelami air banjir, Hana bersyukur mereka semua selamat dalam bencana itu, namun terkilan kerana ramai lagi mangsa di kawasan sekitar tidak dapat berpindah kerana bantuan yang terhad pada ketika itu.
-- BERNAMA