Banjir Hulu Langat: Lebuh Raya EKVE, ini apa yang anda perlu tahu
Astro Awani
Disember 27, 2021 23:45 MYT
Disember 27, 2021 23:45 MYT
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Ahad mendedahkan, pembinaan Lebuh Raya Lembah Klang Timur (EKVE) dipercayai menjadi antara punca berlakunya banjir lumpur di sekitar daerah Hulu Langat.
Menurutnya, kawasan projek tersebut telah menyebabkan beberapa saliran longkang sekitarnya tersumbat.
Sebelum ini, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi yang juga Ahli Parlimen Ampang Datuk Zuraida Kamaruddin mendakwa sisa pembinaan di tapak projek tersebut mungkin telah menyebabkan aliran beberapa sungai di sekitarnya tersumbat.
Zuraida juga telah mendesak agar Perbandaran Ampang Jaya memainkan peranan bagi memastikan projek pembangunan lebuh raya itu tidak memberi risiko kepada kawasan-kawasan sekitarnya.
Apakah yang anda tahu berhubung projek tersebut? Astro AWANI kongsikan sedikit maklumat untuk anda:
- Lebuh raya dengan dua lorong, menghubungkan Bandar Sungai Long dan Ukay Perdana dengan jarak laluan utama 24.16km dan 12.0km jalan bertol.
- Mengikut perancangan, apabila setiap bahagian lebuh raya telah mencapai kapasitinya, ia akan dikembangkan kepada laluan tiga lorong.
- EKVE mempunyai lima persimpangan bertingkat dan lima plaza tol
- Sambungan terus ke lebuh raya lain yang sedia ada seperti SUTERA, LEKAS, AKLEH, DUKE dan MRR2
- Bertujuan mengurangkan kesesakan lalu lintas di sepanjang MRR2 terutamanya di sepanjang laluan antara Ukay Perdana dan Ampang
- Pemangkin pembangunan baharu khususnya di sepanjang Semenyih, Kajang, Cheras dan Ampang.
- Laluan alternatif bagi pengguna Lebuhraya Utara-Selatan dari Kuala Lumpur ke Seremban (melalui LEKAS)
- Laluan alternatif untuk pengguna Lebuhraya Karak, apabila siap bahagian Ukay Perdana – UIAM
- Keluasan kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) yang terlibat dengan projek EKVE adalah seluas kira-kira 106.65 hektar (ha)
- Peratusan keluasan ialah 0.04% berbanding keluasan keseluruhan HSK Negeri Selangor iaitu 250,129.00 hektar
- Pada November 2021, projek tersebut difahamkan sudah siap 94 peratus