Banjir: Henti sumbang pakaian di Taman Sri Muda, tumpu makanan kering
Bernama
Disember 22, 2021 17:50 MYT
Disember 22, 2021 17:50 MYT
SHAH ALAM: Sumbangan pakaian untuk mangsa banjir di Taman Sri Muda, Seksyen 25 di sini tidak lagi diperlukan, kata Pengurus Operasi Pengurusan Kecemasan Bencana Selangor Shehdi Hazrik Shamsudin.
Sebaliknya, Shehdi Hazrik berkata pihaknya yang turut membantu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam menguruskan sumbangan, masih menerima sumbangan makanan kering dan minuman seperti air mineral; mi segera; alat pembersihan diri; lampin pakai buang dan susu formula.
"Pakaian kita tidak perlu sebab yang ada masih banyak dan ia sudah jadi lambakan di tempat pengumpulan bantuan ini.
"Pihak kami memohon sangat kepada semua, hentikan hantar pakaian terpakai dan fokus kami adalah bantuan makanan seperti biskut, maggi, makanan kering," katanya pada pemberita di pusat pengumpulan bantuan banjir di Taman Sri Muda, Seksyen 25, hari ini.
Beliau berkata makanan yang sudah diproses akan diuruskan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat dengan jabatan tersebut sudah mempunyai peruntukan khusus.
-- BERNAMA
#Jabatan Kebajikan Masyarakat
#Taman Sri Muda Shah Alam
#Shehdi Hazrik Shamsudin
#bekalan makanan kering