Banjir: Hari ini, hari mereka... siapa tahu, esok lusa hari kita pula - Aznil

Saharudin Musthafa
Januari 1, 2022 10:16 MYT
Aznil turut membantu orang kampung menyediakan juadah untuk diagihkan kepada mangsa-mangsa banjir dan petugas-petugas sukarelawan di Bukit Canggang. - Gambar Astro AWANI
BANTING: Tidur malam Datuk Aznil Nawawi tidak pernah nyenyak sejak dua minggu lalu.
Rasa pilu membelenggunya mengenangkan nasib mangsa-mangsa banjir yang sedang berusaha kembali membina hidup mereka.
Bencana alam yang menghancurkan seluruh kehidupan sebilangan besar mangsa banjir membuatkan otaknya ligat berfikir apa cara bantuan boleh disalurkan.
Bahkan, kudratnya juga mahu dikerahkan untuk mendampingi golongan yang terkesan, kerana kata pengacara tersohor negara itu, inilah masa terbaik untuk orang seperti beliau memanfaatkan masa menghulur bantuan.
Istilah lelah juga disingkirkan jauh-jauh dari fikiran. Kerana, jelas bekas pengacara program realiti termasyhur Akademi Fantasia itu, jika dikenangkan penat dan ‘kesakitan’ yang dilalui mangsa banjir, ia jauh lebih berganda untuk dibandingkan dengan dirinya.
Justeru, dengan pasukan kecilnya, disokong beberapa rakan strategik yang mahu sama-sama menyertai kerja-kerja kemanusiaan itu, Aznil pantas mengambil usaha menggerakkan bantuan.
Kawasan Bukit Canggang di Banting, Selangor menjadi destinasi utama mereka.
Daerah itu benar-benar terkesan dengan musibah banjir dan bantuan yang disalurkan kepada masyarakat di situ tidak merangkumi keseluruhannya.
Prihatin dengan nasib penduduk kawasan itu, Aznil berkunjung ke sana. Sudah beberapa kali, beliau berkunjung ke sana melihat dengan matanya sendiri kesengsaraan yang sedang diratapi penduduk di situ.
Air matanya laju mengalir setiap kali mendengar rintihan mangsa-mangsa banjir.
“Sedih tengok keadaan mereka. Saya sentiasa membayangkan saya atau keluarga saya melalui ujian dan dugaan itu.
"Kerana itu, saya tidak mampu duduk berpeluk tubuh, saya perlu lakukan sesuatu untuk membantu saudara-saudara saya di Bukit Canggang kembali membina hidup mereka,” katanya, berkongsi rasa kepiluan yang bersarang di fikirannya kepada Astro AWANI yang turut menyertai beliau dalam misi membantu mangsa banjir di Bukit Canggang baru-baru ini.
Enggan membuang masa, Aznil menggunakan akaun media sosialnya terutamanya Instagram dan TikTok untuk mengajak khalayak bersama-sama dengannya mencari dana untuk disalurkan kepada mangsa-mangsa banjir di Bukit Canggang.
Lantaran nawaitu beliau mahu meringankan beban golongan yang sedang dalam kesusahan, maka Allah permudahkan dan membuka laluan yang mudah buatnya.
Sikap rakyat Malaysia yang sentiasa berlapang dada dalam perihal jariah, membuatkan kegusaran Aznil berkurangan.
“Subhanallah… rakyat Malaysia sesungguhnya masyarakat yang pemurah. Hari pertama saya umum pembukaan tabung khas membantu mangsa banjir Bukit Canggang, sambutan yang diterima sungguh luar biasa.
“Menangis saya melihat keprihatinan rakyat Malaysia. Dana yang disalurkan itu saya agihkan kepada wakil saya di Bukit Canggang.
"Walaupun, tidak banyak yang diterima setiap mangsa, namun, sekurang-kurangnya mereka di sana tahu bahawa seluruh negara turut sama bersedih dengan nasib mereka dan mahu berkongsi rezeki.
"Itulah yang menjadi motivasi buat saya untuk meneruskan kera-kerja kemanusiaan ini,” ujarnya lagi.
Walaupun sudah dua minggu berlalu, namun, kata Aznil, sokongan daripada rakyat Malaysia untuk mangsa-mangsa banjir di Bukit Canggang masih diperlukan.
Ini kerana, jelas beliau, masih banyak kerosakan yang perlu dibiayai dan semua itu memerlukan kos.
“Saya melihat bahawa proses bantuan tidak boleh berhenti di sini sahaja. Panjang lagi masa pemulihan dan kerana itu, saya sekali mahu mengajak orang ramai untuk terus berkongsi rezeki bagi mengembalikan semula kehidupan mangsa banjir ini,” jelas Aznil.
Beliau memaklumkan, bantuan kewangan boleh terus disalurkan ke akaun Maybank 564735801178.
Dalam usaha memahami kepayahan yang dilalui mangsa-mangsa bencana alam itu, Aznil turut turun padang meninjau keadaan banjir dan menyampaikan bantuan barangan keperluan kepada masyarakat di sini.
Beruntung Aznil kerana turut mendapat sokongan daripada dua syarikat yang selama ini sering bekerjasama dengannya.
Tidak ketinggalan, selebriti kesayangan ramai itu juga menyinsing lengan membantu kerja-kerja pembersihan di Bukit Canggang.
Dari situ, keinsafan terbit dalam dirinya membuatkan beliau menyimpan iltizam untuk tidak berhenti daripada menyalur bantuan demi bantuan selagi keadaan membenarkan.
“Saya percaya dengan kuasa media sosial. Dengan pengaruh dan kedudukan, saya mampu mengajak orang ramai sama-sama berganding bahu.
“Niat dan matlamat saya adalah untuk meringankan beban mangsa banjir. Bahkan, ini juga masa terbaik untuk kita seluruh rakyat Malaysia menunjukkan solidariti dengan mengenepikan perbezaan ideologi politik, batas agama, bangsa dan latar belakang.
“Hari ini, hari mereka… siapa tahu, esok lusa hari kita pula?” kata Aznil yang juga pengasas Yayasan Pesona dalam nada sayu.
#banjir #Aznil Nawawi #Bukit Canggang #Banting
;