Banjir: Hampir setengah juta bantuan diagih kepada mangsa di pantai timur - Zulkifli
Bernama
Disember 28, 2023 19:24 MYT
Disember 28, 2023 19:24 MYT
TUMPAT: Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) telah membelanjakan hampir setengah juta ringgit untuk menyalurkan sumbangan kepada mangsa banjir di tiga negeri pantai timur sejak gelombang pertama banjir pertengahan November lepas.
Timbalan Menterinya Zulkifli Hasan berkata sumbangan segera berbentuk bantuan makanan dan kit kebersihan itu diagihkan menerusi program Rahmah MADANI oleh 14 agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
"Dalam keadaan sekarang kita kenal pasti bantuan segera dalam bentuk makanan dan peralatan kebersihan diri menjadi keperluan utama. Jadi, kita mengambil pendekatan mengagihkan barangan berkenaan sebagai bantuan awal di pusat pemindahan sementara (PPS).
"Setakat ini, lebih RM500,000 telah kita belanjakan untuk tujuan itu dan peruntukan tambahan akan dipertimbangkan dari semasa ke semasa berdasarkan keperluan mangsa banjir termasuk bantuan untuk pascabanjir," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Santuni Mangsa Banjir dan agihan bantuan Rahmah MADANI kepada 500 mangsa banjir daripada 172 keluarga di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chabang Empat di sini hari ini.
Terdahulu, Zulkifli turut menyampaikan sumbangan sama kepada penduduk yang terkesan banjir di Kampung Topeng, Lubuk Jong, Pasir Mas.
Mengulas lanjut, beliau berkata pihaknya juga akan memperluas bantuan itu ke negeri lain yang turut berdepan masalah banjir termasuk Selangor dan mempertimbangkan bantuan dalam bentuk kewangan selain sumbangan baik pulih rumah pascabanjir.
"Pastinya kerajaan Persekutuan akan prihatin dengan masalah rakyat dan mengambil tanggungjawab ini sewajarnya untuk membantu mangsa banjir.
"Kita akan memainkan peranan sebagai agensi penyokong dalam usaha itu dengan cuba mendapatkan dana tambahan menerusi agensi-agensi utama di bawah kementerian," katanya.
-- BERNAMA