Banjir: Guna kutipan zakat, tabung masjid bantu mangsa - Pakar kajian sosial

Astro Awani
Disember 25, 2021 06:30 MYT
Mohammad Shatar berkata, inilah masanya kutipan itu digunakan bagi meringankan beban masyarakat terutama dalam kariah masing-masing. - Foto fail
KUALA LUMPUR: Pusat pungutan zakat dan jawatankuasa masjid digesa untuk bergerak proaktif dalam menghulurkan sumbangan kepada masyarakat yang terkesan akibat banjir.
Pakar kajian sosial, Prof Datuk Mohammad Shatar Sabran, berkata dengan kutipan zakat dan tabung masjid saban tahun yang kini turut boleh dilakukan menerusi transaksi dalam talian, pastinya cukup untuk diagihkan kepada masyarakat setempat yang memerlukan.
Katanya, inilah masanya kutipan itu digunakan bagi meringankan beban masyarakat terutama dalam kariah masing-masing.
"Seperti yang dikatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini, mangsa banjir tidak perlu lagi mengisi borang kerana data sudah ada, jadi hulur saja bantuan.
"Pada zaman serba canggih ini, pastinya pihak yang berkenaan sudah ada senarai penduduk, kariah, ada kumpulan WhatsApp persatuan penduduk dan jawatankuasa masjid untuk tujuan komunikasi," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Mohammad Shatar yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia, berkata usaha komprehensif dan komitmen bersepadu yang dihulurkan oleh institusi zakat dan masjid pastinya akan memberi kesan yang baik kepada masyarakat.
"Apabila kurang birokrasi dan bantuan dihulurkan segera, perspektif masyarakat akan lebih positif kepada pihak yang menguruskan dana sumbangan atas kapasiti zakat atau derma ini.
"Cukuplah mangsa banjir hanya mengisi surat akuan terima wang untuk rekod dan audit pada masa akan datang," katanya.
#Banjir 2021 #Pusat Pungutan Zakat #jawatankuasa masjid #derma masjid
;