Banjir: Guna bot APM bawa jenazah ke kubur
Bernama
Februari 25, 2022 20:22 MYT
Februari 25, 2022 20:22 MYT
KUALA KRAI: Jenazah seorang lelaki berusia lingkungan 20-an hari ini terpaksa dibawa ke tanah perkuburan menggunakan bot Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) berikutan kawasan kediamannya di Taman Perumahan Bukit Sireh di sini, dilanda banjir.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuala Krai Kapten (PA) Abd Fatah Abd Aziz berkata pihaknya menerima panggilan memohon bantuan menguruskan jenazah Muhammad Shahrul Nizam Saufi, yang meninggal dunia akibat kanser usus pada pukul 12 tengah hari tadi.
"Kami telah dimaklumkan oleh keluarga arwah mengenai jalan di kampung itu yang tidak boleh dilalui kenderaan ringan akibat dinaiki air sedalam 0.2 hingga 0.5 meter.
"Lima anggota APM terpaksa membawa jenazah menggunakan bot sejauh lima kilometer dari rumah (keluarga arwah) di Taman Bukit Sireh, ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Bedal," katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.
Sementara itu tinjauan Bernama di Blok Pasir Puteh di Kampung Batu Mengkebang, di sini mendapati hampir 100 keluarga tidak dapat keluar melakukan urusan harian, selepas laluan ke kampung itu dinaiki air berikutan hujan lebat berterusan sejak Rabu lepas.
Seorang penoreh, Rosmadi Ab Manaf, 40, berkata beberapa laluan di kampung terbabit mula dinaiki air sejak pukul 10 pagi tadi menyebabkan ia tidak dapat dilalui kenderaan.
"Air sungai turut melimpah sehingga menenggelamkan jalan utama yang sering digunakan penduduk kampung," katanya.
-- BERNAMA