Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, Dewan Serbaguna Taman Perumahan Wakaf Tengah, Kuala Nerus menjadi Pusat Pemindahan Sementara (PPS) terakhir yang ditutup pada jam 2 petang tadi.
Ia selepas enam sekeluarga yang berlindung di PPS berkenaan sejak 25 Disember lalu dibenarkan pulang.
Kesemua mangsa dipindahkan ke PPS berkenaan selepas kediaman mereka di Kampung Mengabang Telong, Batu Rakit diancam hakisan susulan air pasang besar.
Banjir gelombang ketiga yang melanda Terengganu kali ini disifatkan terburuk berbanding gelombang pertama dan kedua yang melanda negeri itu pada 20 November dan 14 Disember lalu.
Bah yang kembali melanda pada 24 Disember lalu telah menyebabkan lebih 10,000 mangsa di lapan daerah di negeri Terengganu terjejas.