Banjir gelombang kedua: Perlu tambah baik penyampaian makanan, khemah di PPS - MERCY Malaysia
Irfan Faruqi
Disember 9, 2024 22:57 MYT
Disember 9, 2024 22:57 MYT
KUALA LUMPUR: Penambahbaikan dari segi penyediaan makanan, khemah dan penyeliaan bantuan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) perlu di beri perhatian dalam menghadapi gelombang kedua banjir.
Ringkasan AI
- Terdapat keperluan untuk memperbaiki penyediaan makanan, khemah, dan penyeliaan bantuan di PPS.
- Pengurusan bencana oleh agensi kerajaan lebih baik berbanding tahun-tahun sebelumnya, walaupun masih ada kekurangan.
- Kekurangan bekalan makanan dan khemah di beberapa tempat seperti Kelantan dan Terengganu disebabkan bilangan mangsa yang lebih tinggi daripada jangkaan.
Pada masa sama, Presiden MERCY Malaysia, Datuk Dr. Ahmad Faizal Mohd Perdaus turut menegaskan pengurusan bencana oleh agensi-agensi kerajaan terlibat secara keseluruhan adalah lebih baik berbanding tahun-tahun sebelumnya.
"Walaupun penyediaan pusat-pusat pemindahan sementara (PPS) mencukupi, tetapi masih ada kekurangan dari segi peralatan, penyeliaan dan keperluan lain seperti makanan.
“Di beberapa tempat di Kelantan dan Terengganu, (kekurangan terjadi) kerana bilangan mangsa adalah lebih tinggi daripada yang dijangkakan di sesetengah daerah, terutamanya di Pasir Mas dan Tumpat.
“Makanan dan bahan-bahan keperluan seumpamanya tidak mencukupi di beberapa tempat. Kedua, pengagihan khemah juga tidak mencukupi untuk beberapa hari di Kelantan. Terpaksa diambil beberapa khemah daripada Pahang untuk dibawa ke Kelantan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Isnin.
Banjir gelombang kedua perlu tambahbaik penyampaian makanan, khemah di PPS – MERCY Malaysia
Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan luruan monsun akan berlaku dari 8 hingga 14 Disember ini di timur Semenanjung.
Kenyataan itu memaklumkan, keadaan tersebut berpontensi menyebabkan hujan berterusan di kawasan berkenaan.
Selain itu, kenyataan itu memberitahu, berdasarkan analisis model-model cuaca terkini, penumpuan angin dijangka berlaku di Kelantan dan Terengganu bermula pada petang Selasa hingga awal pagi Rabu ini.
Keadaan itu menurutnya, berpotensi menghasilkan ribut petir berserta hujan lebat dalam tempoh tersebut.
[LANGSUNG] #AgendaAWANI | Jaga-Jaga, Bersedia Ancaman Banjir 2.0 | 9 Dis 2024