Banjir: FAMA sediakan lebih 60,000 kit makanan untuk Nadma
Bernama
November 1, 2022 16:52 MYT
November 1, 2022 16:52 MYT
TANJONG KARANG: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan membekalkan 62,500 kit makanan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) untuk diedarkan kepada mangsa terlibat bencana khususnya banjir di seluruh negara.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) FAMA Abdul Rashid Bahri berkata pihaknya telah memeterai satu persetujuan dengan Nadma bagi FAMA menyediakan sejumlah 62,500 kit makanan dengan 30,000 daripadanya perlu disediakan sebagai stok fasa pertama sebelum akhir tahun ini.
"Ia sebagai bantuan awal kepada setiap keluarga mangsa bencana berisi produk berjenama Agromas dan produk usahawan lain yang sedia untuk dimakan segera tanpa perlu memasak. Semua makanan itu boleh bertahan selama setahun," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata sedemikian selepas Majlis Perlepasan Pengedaran Kit Makanan Monsun Timur Laut Bagi tahun 2022/23 di Pusat Memproses Makanan FAMA di sini hari ini yang turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Perancangan dan Persediaan Bencana (Dasar) Nadma Jamil Derus Ahmad dan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Selangor, Penolong Pesuruhjaya Pertahanan Awam Mulliadi Al-Hamdi Ladin.
Abdul Rashid berkata FAMA yang mempunyai 40 pusat memproses makanan di seluruh negara telah berjaya membekalkan lebih 250,000 kit makanan kepada Nadma sejak 2015.
"Kami juga akan bekerjasama baik dengan APM yang akan menerima produk tersebut (kit makanan untuk diedarkan). Kerjasama kami sangat erat dan kami berjanji untuk kit makanan itu dapat dihantar dalam tempoh 24 jam," katanya.
Sementara itu, Jamil Derus berkata jumlah kit makanan yang disediakan dengan kerjasama FAMA itu akan ditambah dari semasa ke semasa mengikut keperluan selain berharap ia dapat meringankan beban mangsa bencana.
Mengulas mengenai persediaan menghadapi bencana termasuk banjir, Jamil Derus berkata pihaknya pada tahun ini berada di tahap kesiapsiagaan tertinggi dengan mengambil iktibar dan pengalaman pada tragedi banjir pada tahun lepas.
"Kami juga telah mengadakan beberapa kursus dan menambaik baik sistem pengurusan untuk Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) dan Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) untuk enam zon di seluruh negara," katanya.
-- BERNAMA