Banjir: Fahami fenomena bantu minimumkan kesan
Madiha Abdullah
Disember 27, 2021 06:40 MYT
Disember 27, 2021 06:40 MYT
KUALA LUMPUR: Mengelak daripada bencana alam seperti banjir mungkin sesuatu yang mustahil, namun memahami fenomena yang berlaku boleh membantu meminimumkan kesannya.
Penasihat Langkawi UNESCO Global Geopark dan juga Felo Utama LESTARI UKM, Prof Emeritus Datuk Dr Ibrahim Komoo berkata, situasi itu dipanggil hidup bersama alam, di mana manusia memahami proses alam membolehkan pertimbangan risiko dibuat.
Tegasnya, masyarakat biasa memperkatakan perihal bencana seperti banjir dan tanah runtuh sebagai dua perkara berbeza, sedangkan ia merupakan merupakan satu proses geologi berantai.
"Kebanyakan banjir besar adalah gabungan dua fenomena ini, bukan sekadar jumlah air hujan tinggi.
"Proses ini dinamakan proses geologi berantai, bermaksud lembah sungai seperti Sungai Klang atau Sungai Langat, bahagian pergunungannya berlaku tanah runtuh ketika hujan lebat.
"Tanah ini berkumpul di alur sungai dan akan bercampur dengan kayu-kayan yang menghalang aliran sungai air.
"Apabila sungai naik tinggi, kita boleh bayangkan ia macam empangan apabila air naik melampaui keupayaan ia akan pecah.
"Berlakulah aliran puing air yang sangat deras dan banyak dengan pasir, lumpur dan kayu bergerak dan apabila jumlah air meningkat menjadi banjir puing.
"Kalau kita berada di hulu, kita berhadapan tanah runtuh. Kalau di lembah yang rendah kita akan berhadapan banjir puing yang menyebabkan kemusnahan besar.
"Di hilir atau muara seperti Shah Alam dan Klang, sudah tak ada puing kerana sudah hanyut ke laut atau tersangkut di pesisir sungai kita, berhadapan dengan banjir lumpur atau banjir.
"Kena faham proses itu dan ambil tindakan susulan yang bersesuaian," katanya ketika muncul dalam Agenda AWANI, malam tadi.
Aliran puing merujuk kepada tanah runtuh di bahagian pergunungan, cerun-cerun sebelum lurah, dan apabila tanah runtuh jatuh ke dalam sungai yang mengandungi air yang banyak, puing iaitu pokok, kayu, batuan dan lumpur dibawa dengan laju di sepanjang alur sungai.
Kemusnahan yang tinggi adalah disebabkan oleh air banjir itu mengandungi bahan puing yang mempunyai kuasa pemusnah yang tinggi, berbeza dengan air banjir biasa yang melimpah.
Dua konteks yang boleh menyebabkan aliran puing, kata Ibrahim, iaitu terjadi secara semulajadi akibat hujan lebat, dan juga akibat aktiviti manusia.
"Konteks pertama aliran puing ini fenomena biasa semasa hujan lebat, berlaku di hulu sungai tertentu, bukan semua sungai, bergantung kepada bentuk muka bumi dan batuan.
"Ini sudah dikaji, aliran puing berlaku kalau hujan turun berpanjangan tidak semstinya lebat dalam tempoh empat atau lima hari.
"Kalau lihat kejadian baru-baru ini, hujan sudah turun sejak 14 Disember, lebih kurang empat ke lima hari sebelum berlakunya banjir.
"Konteks kedua, aliran puing dan tanah runtuh dipercepat oleh aktiviti manusia seperti pembersihan hutan atau pembalakan tak terkawal.
"Ini mendedahkan tanah kepada curahan hujan berterusan membentuk hakisan dan menggalakan lebih banyak lumpur, memberi tenaga yang menyebabkan tanah runtuh dan aliran puing," jelasnya lagi.
Tambahnya, satu lagi cara yang boleh difikirkan ialah dengan mewujudkan empangan penahan seperti yang dilakukan negara-negara maju bagi memutuskan proses geologi berantai ini.
"Ada negara yang bina empangan penahan debris, jadi kebanyakan puing tersangkut pada siri empangan. Yang lepas ke bawah hanya lumpur dan air, jadi ini boleh mengelakkan kemusnahan besar.
"Bencana alam bukan sesuatu yang kita boleh elak, kalau kita rasa teknologi kita bagus, alam ada cara lain yang akan atasi kemampuan itu.
"Yang kita boleh lakukan ialah kawal risiko bencana dengan cara mengenali proses alam tadi supaya ia membantu kita membuat pertimbangan," katanya.
Agenda AWANI: Tragedi Banjir: Berdamailah manusia dan alam