Banjir: Fadhlina minta ibu bapa pantau pergerakan anak
Bernama
September 17, 2024 18:50 MYT
September 17, 2024 18:50 MYT
NIBONG TEBAL: Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek mengingatkan ibu bapa supaya memantau keselamatan anak-anak susulan banjir di beberapa kawasan termasuk Nibong Tebal.
"Kebetulan banjir berlaku pada cuti sekolah, jadi saya minta ibu bapa memantau pergerakan anak-anak.
"Kita sedaya upaya cuba mengatasi krisis ini dengan semua agensi digerakkan," katanya kepada pemberita selepas meninjau situasi banjir di sini hari ini.
Ahli Parlimen Nibong Tebal itu turut menasihati penduduk kawasannya supaya mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya diarahkan berpindah ke pusat pemindahan sementara.
"Banjir kali ini membimbangkan. Ada rumah (di Nibong Tebal) yang agak teruk dan mungkin perlu pemindahan segera. Kita minta jika terlibat dengan pemindahan patuhi arahan pihak berkuasa demi keselamatan," katanya.
Banjir di sekitar Nibong Tebal menjejaskan lebih 100 rumah dengan kawasan terlibat antaranya Jawi, Sungai Kechil, Kampung Besar, Taman Cenderawasih, Kampung Sungai Buaya, Kampung Sungai Udang, Taman Nibong Tebal, Kampung Sanglang, Kampung Setthu dan Taman Ilmu.
Difahamkan, air dari sungai berhampiran mula melimpah ke tebing pada 8 pagi tadi susulan hujan sejak malam tadi, malah air dari kawasan bukit turut melimpah memasuki kawasan rumah penduduk.
Seorang penduduk Kampung Sungai Kechil, Mohd Zabidi Embi, 52, berkata rumahnya dinaiki air hingga paras pinggang dan kejadian pada awal pagi tadi berlaku dengan pantas.
''Sebelum ini memang kawasan ini kerap berlaku banjir, namun kali ini air naik dengan pantas dan parasnya juga tinggi," katanya di sini hari ini.
Sarina Sairin, 65, pula berkata rumahnya dinaiki air kira-kira 8.45 pagi tadi selepas hujan berterusan sejak malam tadi.
Banjir itu juga, katanya disifatkan paling buruk pernah berlaku di Kampung Sungai Kechil.
-- BERNAMA